Bomba maut ketika bertugas terima sumbangan berjumlah RM215,839
SEORANG Pegawai Bomba, Baharudin Sapuan yang maut akibat kemalangan ketika menunggang uji motosikal berkuasa tinggi milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sumbangan berjumlah RM215,839.
JBPM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, semua sumbangan itu diserahkan kepada balu arwah, Zetay Akhtar Muhamad, 40 tahun.
“Arwah Baharudin Sapuan menerima sumbangan Koperasi Pekerja Bomba berjumlah RM87,000, Persatuan Kebajikan Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia (RM3,000) dan Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan Bomba KL (RM1,000).
“Sumbangan turut diberikan oleh Persatuan Khairat Kematian Dan Kebajikan Am Islam (RM1,000), Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Bomba Semenanjung (RM52,000), Insuran Kelompok Takaful (RM49,000), Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (RM22,189.50), KMSB Solution (RM2,000) dan MILDEF International Technologies sebanyak RM1,200,” katanya.
Menurutnya, semua sumbangan itu adalah manfaat kebajikan yang telah disertai arwah sepanjang perkhidmatannya sejak 15 Februari dan manfaat kebajikan diberikan Kerajaan.
Jelasnya, arwah telah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Nur Aqilah Maisarah, 14; Nur Afza Darwisyah, 10; Nur Wadhiah Husna, 8 dan Nur Syifaa Munawwarah, 5 tahun.
Arwah Baharudin yang juga seorang anggota unit
‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur terbunuh selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika berkonvoi di Kilometer 203.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah pada 7 Jun lalu.
Baharudin Sapuan, 44, meninggal dunia selepas dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan terseret pada penghadang jalan sejauh kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret 100 meter.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa menunggang motosikal Kawasaki Versys 650 ABS bersama-sama enam anggota unit berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kluang, Johor.
“Siasatan mendapati mangsa dan enam penunggang motosikal unit berkenaan dalam sesi latihan ujian kemahiran motosikal dan memulakan perjalanan pada 8 pagi.
“Mangsa menunggang di bahagian tengah konvoi, tetapi setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terseret dan tercampak ke tepi lebuh raya,” katanya. -SM