Skuad bola sepak kudung negara aktif berlatih untuk ke piala dunia
SKUAD bola sepak kudung negara dalam usahanya untuk mencapai cita-cita mewakili negara ke kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Kudung 2022, kini aktif menjalankan aktiviti pertandingan.
Pembantu jurulatih pasukan Persatuan Bolasepak Kudung Malaysia (MAFA) Fakri Raimi, 30, berkata walaupun pasukan itu baharu ditubuhkan pada 2016, namun mereka mempunyai perancangan jangka panjang bagi memastikan layak ke pertandingan Piala Dunia 2022.
“Antaranya dengan menyertai perlawanan bertaraf antarabangsa malah MAFA sendiri akan menganjurkan Kejohanan Piala Jemputan MAFA 2020 dengan penyertaan negara India, Indonesia, Iran, Nepal dan satu pasukan jemputan dari Palestin,” katanya kepada Bernama.
Fikri, yang juga kudung kaki, berkata penyertaan itu akan memberi mata kepada pasukan negara untuk mencapai ranking terbaik, selain memperkukuhkan persefahaman pemain yang majoritinya bekerjaya dan hanya bermain secara separuh masa.
“Setiap pasukan perlu bersaing di dalam pusingan kelayakan dan kebiasaannya benua Asia diberi tiga slot untuk ke Piala Dunia dengan dua slot selama ini diisi Jepun dan Iran yang dianggap kuasa besar, tetapi saya yakin kita berkemampuan untuk bersaing merebut satu lagi kekosongan slot itu,” katanya.
Piala dunia kudung turut melibatkan penyertaan 17 negara dari Eropah, masing-masing empat dari Amerika Selatan dan Afrika. Kejohonan terakhir telah diadakan pada 2018 di Mexico, dengan dijuarai oleh Angola.
Pasukan negara yang diketuai jurulatih Sunny Shalesh mempunyai 50 pemain berumur antara 16-40 tahun dengan 95 peratus daripada mereka kehilangan kaki akibat kemalangan, manakala lima peratus lagi akibat kecacatan sejak lahir.
Dalam perkembangan lain, MAFA kini giat menjalankan kempen #ProjekTongkat dalam mencari dana bagi membawa pasukan kelab bola sepak kudung dari Gaza, Palestin bagi mengadakan perlawanan persahabatan serta mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia pada Februari 2020.
Dana yang diperlukan berjumlah RM250,000 dan sekiranya ada lebihan dana akan disalurkan terus ke Gaza.
Di dalam pertandingan bola sepak kudung, tempoh permainan ialah sejam dengan waktu pertama 25 minit dengan rehat 10 minit, sebelum disambung permainan kedua selama 25 minit dalam kawasan padang seluas 60 meter panjang dan 40 meter lebar serta ketinggian gol 2.2 meter dan lebar 5.0 meter.
Setiap pasukan dianggotai oleh tujuh pemain termasuk seorang penjaga gol dan pemain mestilah kudung sebelah kaki dan penjaga gol kudung sebelah tangan. – BERNAMA