Kajian Lapangan: Sentimen pengundi P165 Tanjung Piai terhadap parti-parti politik
Kajian ini adalah berdasarkan 382 orang responden pengundi di Tanjung Piai menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, iaitu kadar ralat sebanyak 5%.
Rakyat Malaysia khususnya penduduk P.165 Parlimen Tanjung Piai mengetahui calon pada 2 November. Pihak Pakatan Harapan (PH), menghantar calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Manakala, pihak pembangkang meletakkan calon dari MCA.
Untuk itu, pasukan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) telah turun ke lapangan hujung minggu lepas (28-29 September 2019) bagi membuktikan siapa yang layak bertanding dari pihak BN. Pihak kami telah pun menyelidik mengikut demografi Parlimen tersebut, iaitu 57% Melayu dan 42% Cina, dengan sebanyak 382 responden yang merangkumi DUN Kukup (60% Melayu, 38% Cina) dan DUN Pekan Nanas (54% Melayu, 45% Cina).
Soal selidik yang kami lakukan dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, iaitu kadar ralat sebanyak 5%. Kajian ini memfokus pada 2 bangsa teramai iaitu Melayu dan Cina kerana menjadi penentu di Tanjung Piai.
Carta di sebelah kiri adalah jika BN menghantar calon UMNO, dan di sebelah kanan jika BN meletakkan calon MCA.
Jika kita melihat beza antara 2 carta di atas, penyokong pembangkang di kalangan Melayu berkurangan dari 55% kepada 24% iaitu penurunan sebanyak 31%. Manakala pengundi atas pagar juga meningkat dari 28% kepada 43% iaitu meningkat 15%.
Apa yang menarik adalah melihat peningkatan sebanyak 16% yang sanggup mengundi BERSATU. Ini apa yang kita panggil undi protes, iaitu penyokong pembangkang yang sanggup mengundi kerajaan apabila calon yang dikehendaki tidak bertanding.
Untuk pengundi Cina pula, sokongan untuk kerajaan pula menurun dari 62% kepada 28% jika UMNO menghantar calon, dan pengundi atas pagar meningkat dari 31% kepada 56%.
Perhatian sekali lagi harus diberikan kepada undi protes. Dalam kes pengundi Cina, pengundi sebegini adalah kurang dari pengundi Melayu iaitu hanya sebanyak 9%.
Dengan memasukkan data pengundi Melayu sebanyak 30,511 orang serta pengundi Cina sebanyak 22,482 orang, maka dalam kedua-dua simulasi, BN tetap menang cuma majoriti berkurang jika MCA bertanding.
Perbezaan pengundi tegar BN jika UMNO bertanding adalah sebanyak 14,292, manakala jika MCA bertanding adalah sebanyak 9,619 iaitu perbezaan sebanyak 4,673.
Kajian ini hanyalah dapatan awal untuk melihat sentimen pengundi terhadap parti. Kajian ini tidak memasukkan elemen lain seperti faktor calon, faktor kempen yang berkesan, faktor ‘gula-gula’ dari kerajaan, faktor kerajaan menghantar calon lain selain PPBM, dan sebagainya.
ARIF ANWAR BIN LOKMANOL HAKIM
Ketua Data dan Kajian
Gerakan Pengundi Sedar (GPS)
Laporan ini dipetik dari https://www.pengundisedar.com/