BN punya banyak kelebihan di Kimanis
Oleh Borhan Abu Samah
DENGAN membawa semangat kemenangan lebih 15,000 undi pada pilihan raya kecil Tanjung Piai tempoh hari jentera Barisan Nasional bergerak lancar di pilihan raya kecil Kimanis.
Kelebihan Barisan Nasional adalah mempunyai jentera yang kemas dan gerak kerja yang teratur berbanding Pakatan Harapan khususnya Warisan yang merupakan parti baharu serta tidak mempunyai jentera yang berpengalaman dan kemas.
Jentera parti kerajaan itu sendiri mengakui mereka tidak mempunyai pengalaman berdepan dengan pilihan raya kecil yang begitu intensif dalam tempoh yang singkat, kerana apa yang mereka lalui semasa pilihan raya umum sangat berbeza.
Kehadiran Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kimanis yang turut sama turun padang memberi semangat kepada ahli untuk bergerak ke seluruh kawasan Kimanis.
Penerangan UMNO sendiri setiap malam mengadakan Diskusi Kimanis bagi memberi penjelasan secara santai kepada para pengundi di Kimanis berhubung isu yang harus diberi perhatian mereka seperti Pas Sementara Sabah yang diberikan kepada pendatang tanpa izin yang akan menjejaskan peluang pekerjaan di negeri berkenaan.
Ribuan pendatang tanpa izin ini akan dihalalkan dengan pemberian pas berkenaan dan ini sekali gus akan menyebabkan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan orang asing untuk mendapat pekerjaan, apatah lagi dalam situasi keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan dengan ramai syarikat ditutup dan membuang pekerja.
Lebih dikhuatiri lagi jika suatu hari nanti ribuan pemegang PSS ini akan diberi kad pengenalan yang sah dan menjadi rakyat Sabah yang sah dan dibenarkan mengundi, mereka akan menjadi suara penentu dalam pemilihan kerajaan pada masa hadapan.
Walaupun kerajaan penjelasan bahawa inisiatif itu adalah semata-mata untuk membersihkan pendatang tanpa izin, tetapi timbul keraguan apakah pihak berkuasa mampu mengekang sebarang tindakan memalsukan dokumen oleh sindiket selepas ini.
Isu PSS ini sangat dibimbangi di Sabah kerana negeri berkenaan sejak sekian lama dibelenggu masalah pendatang tanpa izin dan dikhuatiri dijadikan oleh kerajaan negeri untuk menambah pengundi pada pilihan raya umum kelak tanpa memperdulikan tentang keselamatan negeri dan negara keseluruhannya.
Walaupun pemimpin kerajaan menuduh Barisan Nasional ketandusan isu kerana memainkan isu PSS, tetapi ia wajar diberi perhatian dan telah membuka mata banyak pihak kerana jika tidak diuruskan dengan baik akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara.
Memang polisi itu dibuat semasa kerajaan diperintah Barisan Nasional, tetapi dikhuatiri kelemahan yang ketara kerajaan hari ini yang semakin longgar urus tadbir dan keluhuran Perlembangan serta undang-undang akan merosakkan masa hadapan negara.
Rata-rata penduduk di Kimanis juga gelisah dengan dasar kerajaan yang tidak menentu dan sering berubah sehingga menjejaskan kehidupan mereka seharian seperti kenaikan harga barangan yang tidak terkawal dan kos sara hidup yang terus meningkat dan pada masa yang sama peluang pekerjaan semakin berkurangan.
Kenaikan harga barangan keperluan menyebabkan rakyat terpaksa menjerut perut untuk melalui kehidupan seharian.
Secara khusus penduduk di Kimanis sangat dahagakan pembangunan dan pembangunan inilah yang akan memberi harapan bagi mereka memperolehi kehidupan yang lebih baik. Bagaimanapun kegagalan Warisan mentadbir negeri menyebabkan banyak projek terbengkalai.
Paling ketara adalah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang betul-betul membelah parlimen Kimanis yang dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional telah lama terhenti.
Bagaimanapun setelah diketengahkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan barulah projek berkenaan dijalankan kembali dan itupun pada skala kecil sahaja, sedangkan kesan pembinaan terhenti agak lama dapat dilihat.
Helah politik semasa pilihan raya kecil ini tidak membantu rakyat untuk jangka panjang apatah lagi negeri dan negara keseluruhannya ditadbir oleh kerajaan yang lemah dan semberono.
Pelbagai pengumuman projek pembangunan yang diumumkan oleh para menteri juga tidak melekat di hati rakyat lagi kerana rasa yakin yang semakin tipis terhadap kerajaan hari ini.
Penduduk di Kimanis juga mempersoalkan tentang bantuan sarapan pagi yang dijanjikan oleh kerajaan yang sepatutnya dimulakan tahun ini dan sehingga kini hanya tinggal janji.
Helah pusat daerah mengundi ditutup dan puluhan ahli UMNO keluar parti juga yang digunakan lawan di Kimanis juga sudah lapuk dan tidak berbekas di hati para pengundi keseluruhannya. Tindakan sedemikian hanya menunjukkan lawan semakin terdesak kerana gagal menembusi kubu kuat Barisan Nasional apatah lagi apabila pemimpin tempatan Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Bung Mokhtar dan Datuk Seri Rahman Dahalan mula berkampung di Kimanis.
Sabtu ini Najib akan sekali lagi datang ke Kimanis dan ini akan meningkatkan lagi momentum sokongan kepada Barisan Nasional kerana rakyat Sabah masih mengenang jasa beliau yang bersungguh-sungguh memajukan negeri berkenaan ketika menjadi kerajaan dan ia dapat dilihat dengan projek lebuh raya Pan Borneo.
Satu lagi kelebihan Barisan Nasional mereka mempunyai barisan pemimpin yang mampu berkempen dan bijak berpidato berbanding jentera Warisan yang terlalu berharap kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
Pilihan raya kecil Kimanis sebenarnya hanya berkisar tentang pengaruh dan penerimaan penduduk setempat terhadap Shafie.
Jentera Pakatan Harapan memaklumkan mereka telah berjaya menembusi kawasan kubu kuat Barisan Nasional terutamanya di Kampung Brunei, tetapi tinjauan yang dibuat mendapati kawasan berkenaan masih lagi penuh dengan bendera Barisan Nasional.
Pendekatan diskusi santai Penerangan UMNO dengan membawa pelawak Shahrul Shiro dan pelawak tempatan Alex menyertai program berkenaan membuat khalayak mudah menerima dan faham walaupun isu yang dibawa adalah berat.
Pengundi di Kimanis semanis namanya yang majoriti Melayu tidak gemarkan politik yang keras dan agresif. Jadi kehadiran para penceramah luar perlu perlu bijak menyesuaikan diri dengan situasi dan budaya setempat.
Akhirnya pengundi di Kimanis akan menentukan dan mereka hanya memilih wakil rakyat yang pada masa ini kosong. Jika mereka memilih Warisan yang mewakili Pakatan Harapan bermakna mereka masih yakin parti itu dapat membawa pembangunan ke daerah mereka dan UMNO yang menjadi wakil kepada Barisan Nasional tidak perlu gusar bukan bermakna mereka ditolak, tetapi penduduk di Kimanis masih memerlukan dambaan pihak kerajaan.
Namun jika tiga tahun mendatang kerajaan gagal menunaikan janji-janji mereka, rakyat bukan sahaja di Kimanis, bahkan seluruh negara akan mencampak kerajaan hari ini ke lubang gelap sehingga mereka sendiri tidak lagi tahu mencari jalan pulang walaupun menggunakan waze dan peta google.