Alam Sekitar

Birokrasi sekat usaha perkasa teknologi hijau di Melaka

Melaka boleh menjadi negeri pintar dan berteknologi hijau menggunakan sepenuhnya tenaga solar jika karenah birokrasi dapat dikurangkan khususnya bagi kelulusan bangunan kerajaan bagi pengunaan teknologi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, akibat karenah birokrasi ia menjadi penghalang kepada usaha kerajaan negeri untuk membudayakan teknologi hijau.

Menurutnya, masih banyak lagi premis kerajaan tidak dilengkapi sistem bumbung solar kerana perlu mendapat kebenaran di peringkat pusat dan kementerian berkaitan yang menjadi punca kelewatan kelulusan.

“Namun di Melaka usaha menggunakan teknologi hijau sudah bermula dan saya difahamkan sudah ada panel solar digunakan di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Kita mesti perkasakan lagi teknologi hijau ini dan mengurangkan karenah birokrasi supaya semua bangunan kerajaan dapat dipasang panel solar begitu juga di masjid-masjid kita sudah boleh memasang sistem bumbung solar.

“Ini bukan sahaja memastikan teknologi hijau malah masjid-masjid dapat penjimatan dari sudut kewangan dan kita akan bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PHTM),” ujarnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Malam Anugerah Hijau Melaka 2022 anjuran PTHM di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PHTM, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah.

Mengulas lanjut Rais berkata, program Eco Schools perlu diperluaskan di seluruh sekolah di negeri ini dalam usaha membudayakan golongan pelajar ke arah program amalan hijau.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 131 buah sekolah terlibat namun hanya 17 daripada diiktiraf menerima ‘green flag‘.

“Kalau kita dapat memupuk pelajar sekolah mengenai inisiatif hijau ini apabila mereka dewasa nanti ia boleh mewujudkan satu komuniti yang faham dengan usaha kerajaan negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, usaha tersebut dapat direalisasikan melalui Jabatan Pendidikan negeri untuk menerapkan teknologi hijau di seluruh sekolah di negeri ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button