Rencah HidupSukanTravel

Bila agaknya basikal akan dihalalkan di Malaysia?

KUALA LUMPUR – Apabila Azizulhasni Awang menang lumba basikal peringkat dunia, kita semua tumpang bangga dengan pencapai atlet berkenaan hingga ke peringkat dunia.

Pada hakikatnya kita lupa basikal adalah diharamkan di kebanyakan tempat di negara ini. Menghisap rokok di tempat awam lebih mudah berbanding berbasikal di tempat awam.

Basikal haram di lebuh raya. Basikal lajak haram. Laluan basikal jadi tempat parking haram kenderaan lain. Sikap dangkal kerajaan dan pihak berkuasa ini sebenarnya tidak membantu apa-apa, bahkan membantutkan potensi rakyat untuk mengasah bakat dalam bidang sukan yang sangat besar peluangnya.

Apabila kerajaan, pihak berkuasa membuat kenyataan basikal haram daripada memasuki lebih raya, maka menjadi-jadilah kenderaan lain yang cuba menghimpit basikal yang berkayuh walaupun di bahagian paling sisi di lorong kecemasan lebuh raya.

Jalan di negara ini juga penuh dengan batu-batu kecil serta objek tajam lain yang dengan mudah menyebabkan tayar basikal pancit atau bocor.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar lebuh raya Guthrie lebih bernasib baik kerana lebuh raya berkenaan mempunyai lorong khas untuk motosikal, walaupun sempit tetapi, masih lagi lebih selamat berbanding mereka yang berkayuh di lebuh raya Latar atau di jalan-jalan persekutuan.

Biasanya penunggang motosikal dan pemandu kenderaan berat yang gemar menghimpit orang yang berbasikal, kononnya untuk menakut-nakutkan mereka yang melanggar peraturan, tanpa memikirkan nyawa sendiri.

Jika semua jalan tidak selamat untuk aktiviti berbasikal, jadi di mana lagi yang boleh dilakukan aktiviti berkenaan. Bagi yang berduit bolehlah mereka ke Thailand berkayuh di kawasan khas yang disediakan

Di Thailand disediakan trek sepanjang 23 kilometer di sekitar lapangan terbang di Bangkok yang dikenali sebagai Happy and Healthy Bike Lane. Kemudahan yang disediakan adalah mengikut standard negara maju dan menjadi tumpuan peminat aktiviti berbasikal dari seluruh dunia.

Foto kredit: Uwe Schwarzbach

Kerajaan Thai sedar sikap penduduknya belum membolehkan lorong basikal bersebelahan laluan kenderaan lain dapat dilaksanakan. Ini adalah kerana kencederungan pengguna yang tidak mempunyai kesederan sivik untuk menjadikan lorong berkenaan sebagai tempat melonggok sampah dan meletakkan kenderaan secara haram.

Oleh itu lorong basikal di Thailand diasingkan daripada laluan kenderaan yang lain.

Kalau bercerita tentang basikal, di Eropah, Perdana Menteri, menteri dan segala lapisan masyarakat berkayuh basikal. Di mana sahaja terdapat laluan khas basikal. Jika kita langgar penunggang di laluan basikal, kita yang salah. Basikal pula pelbagai jenis tak kira lajak atau tidak lajak.

Di Malaysia hanya boleh berkayuh dengan selamat bila ada acara berbasikal itu pun perlu dibayar. Atau hari bebas kenderaan di Kuala Lumpur atau di Shah Alam. Itupun hanya dibuka dua jam dengan satu pusingan hanya kira-kira 7 kilometer. Kalau bernasib baik sempatlah melakukan dua pusingan iaitu 14 kilometer kerana tidak dapat kayuh laju lantaran ramai yang turut berjoging di laluan yang sama.

Untuk memuaskan nafsu berkayuh atau berlatih ratusan kilometer pengayuh tegar perlu mengambil risiko tinggi berkayuh di lebuh raya yang diharamkan dan jalan persekutuan yang penuh dengan pengguna jalan raya lain yang tidak berhati perut dan bertimbang rasa.

Cuma di kawasan seperti Hulu Langat dan Putrajaya sahaja pengguna jalan raya lebih menghormati pengayuh basikal kerana setiap hujung minggu memang banyak aktiviti sedemikian sehingga VIP dan selebriti turut berkayuh di situ.

Saya yakin jika terdapat kemudahan seperti di Thailand itu orang ramai tidak keberatan untuk membayar bagi berkayuh di kawasan yang selamat dan tenang, berbanding sekarang terpaksa bergadai nyawa untuk sihat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button