fbpx
Politik

PRK Tanjung Piai: Tai chi, ‘ahlil nujum’ dan retorik pramatang

KUALA LUMPUR –  Ketika ini belum pun masuk hari penamaan calon ramai yang sudah cuba menjadi ‘ahlil nujum’ dengan membuat pelbagai telahan dan ramalan secara rambang siapa bakal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Namun seperti mana sifat ‘ahlil nujum’ ia tidak dapat menggambarkan secara sah siapa menang dan siapa kalah sebelum pertarungan berakhir.

Telahan dan ramalan mungkin boleh dibuat awal tetapi petunjuk dan ilham hanya datang di saat-saat akhir. Apatah lagi rakyat sekarang lebih bijak kerana mereka telah diberitahu pada PRU sebelum ini, “jika orang bagi kita ambil tetapi undi belum tentu”.

Ramalan sebegini yang digambarkan oleh ‘ahlil nujum’ ini sama ada dari orang-orang politik, ataupun pak maun dan wak parjo serta geng ngetehnya di warung milik mak bedah di Tanjung Piai, mahupun pensyarah universiti di pinggir ibu kota, akan hanya sekadar spekulasi umum ataupun pengaruh propaganda bersandarkan situasi semasa dan telahan awal yang boleh diumpamakan seperti ejakulasi pra matang.

Apatah lagi melihat kepada pandangan umum, ramai mengatakan Barisan Nasional (BN) akan bungkus lebih awal kerana kesilapan percaturannya meletakkan calon bukan Melayu Datuk Seri Wee Jeck Seng, dari parti MCA yang dikitar semula.


Ini kerana ramai berpandangan orang Melayu tidak akan menyokong calon bukan Melayu kerana mereka sudah istiqomah dengan muafakat penyatuan ummah yang menjadi pegangan UMNO dan Pas akibat salah memilih kerajaan pada pilihan raya umum lalu.

Maka gegak gempitalah penganalisis dengan analisa mereka bahawa orang Melayu sudah bersatu hati akan memilih calon dari Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Namun bagi penulis ada dua perkara yang perlu kita lihat sebelum boleh mendakwa calon MCA ini sudah terkulai sebelum waktunya.

Pertama, semua harus maklum bahawa orang Melayu perlu sedar siapa musuh mereka yang sebenar. Ini jelas bahawa jika mereka menyokong calon dari Bersatu ia umpama menyerlahkan lagi penguasaan DAP dalam kerajaan.

Memanglah benar calon MCA itu seorang Cina tetapi mereka adalah antara orang bukan Melayu yang menyokong muafakat perpaduan ummah yang ditunjangi UMNO dan Pas yang kemudiannya membawa kepada agenda muafakat nasional.

Jika mahu diungkit kisah lama dan buruk yang dilakukan MCA antaranya ahlinya mahu UMNO disingkirkan
dari BN atau pernah bertanding dalam PRK tanpa menggunakan logo BN, orang Melayu pula perlu muhasabah diri dengan apa yang pernah berlaku antara dua parti Melayu terbesar di negara ini sejak sekian lama.

Kalau nak diungkitlah- caci maki, kafir mengkafir, sembahyang dua imam, disumbat ke penjara, itu hanyalah antara sekelumit tembelang yang pernah berlaku antara UMNO dan Pas sejak puluhan tahun dulu.

Hanya dengan kalahnya UMNO dan BN pada pilihan raya lepas barulah terfikir dan terniat di dalam hati untuk menyatukan dua parti Melayu ini demi kelangsungan bangsa dan agama katanya.

Keduanya, orang Melayu juga sudah perlu sedar tentang keperluan kematangan mereka berpolitik. Menyokong seseorang bukan Melayu bukan bermakna mereka musuh dan tidak layak menjadi rakan politik kita.

Selama lebih 60 tahun MCA sudah menjadi sahabat dalam BN malah mungkin lebih kepada adik beradik walaupun berlainan kaum dan agama. Ada ketika susah senang bersama ada masanya bertekak macam nak kiamat dunia.

Kematangan politik ini sudah sampai masanya bagi orang Melayu dan juga bukan Melayu untuk ditunjukkan kepada puak sama rata sama rasa itu dan kerana itulah UMNO, Pas serta MCA dan MIC berpegang pada muafakat nasional dan bukan ummah.

Kita hidup di sebuah negara yang berbilang kaum dan agama namun pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan perlu dijunjung tanpa prejudis demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

Yang jelas kalah atau menang BN pada PRK ini ia tidak akan mengubah apa- apa. Mereka tetap pembangkang, Tun Dr. Mahathir tetap Perdana Menteri (PM) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal menjadi PM tepi. (tunggu masa jadi PM?).

Tidak ada yang rugi jika ahli UMNO dan Pas di Tanjung Piai menyokong calon MCA sekali lagi kerana jika menang ia membuktikan BN dengan bantuan Pas sudah bersedia menjadi sebuah kerajaan yang bukan sahaja adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

Malah ia turut membuktikan bahawa orang Cina sendiri sudah menolak DAP kerana sudah tidak lagi ‘tahan dikencing’ akibat kegagalan memenuhi janji manifesto selain masalah ekonomi yang semakin teruk akibat kegagalan Menteri Kewangan membuat kerja dan hanya pandai menuding jari kepada kepimpinan lama.

Tetapi andai kata calon MCA bukan sahaja kalah tetapi undinya pula jatuh teruk, sudah sampai masanya mereka mencermin muka sendiri dimana letaknya kedudukan mereka pada PRU akan datang.

Mereka perlu sedar hakikat ketika itu bahawa mereka sudah tidak ada lagi ‘bargaining power’ untuk ‘bertai chi’ dan meroyan mahu itu dan ini kerana mungkin sudah jelas majoriti orang Cina memang sudah menolak BN sana sekali.

Dan jangan dilupa MIC juga sepatutnya sudah tahu sama ada langit itu tinggi atau rendah.

Waima apapun biarlah ‘ahlil nujum’ dengan kegiatan ramalan mereka, untung sabut timbul untung batu tenggelam, kerana yang penting jika nak menang buatlah kerja bukan berterusan berbalah dan bertelagah seolah-olah masih berasa diri di puncak kuasa. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button