MahkamahNasional

Bicara kes rasuah Guan Eng ditangguh ke 12 Julai

PERBICARAAN kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sepatutnya bermula pada 8 Jun ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditangguhkan ke 12 Julai.

Guan Eng, 60, berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, penangguhan itu berikutan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun nanti.

“Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Azura Alwi dan pada prosiding 12 Julai nanti, pihak pendakwaan akan memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa 125 orang saksi pendakwaan termasuk beberapa orang anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 Sept, 20 hingga 24 Sept dan 13 hingga 17 Dis depan untuk perbicaraan kes.

Memetik laporan FMT, mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli supaya dilantik untuk melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng yang juga merupakan bekas menteri kewangan, didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, KOMTAR, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button