Biarpun berkerusi roda, Suriati gigih hasilkan donut
KEGIGIHAN seorang wanita kurang upaya (OKU) Suriati Mat Zin, 44, mencari rezeki bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suamnya, Zainal Abidin Ayub, 49, lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan pada tahun 2017, menjadi satu iktibar kepada kita semua.
Suriati yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan, dilaporkan oleh BERNAMA, berniaga donut untuk dijadikan pendapatan.
Menurut Suriati, idea untuk menjual donat timbul selepas hilang punca pendapatan sebagai penoreh getah namun beliau sekeluarga tidak mahu berterusan bergantung dan mengharapkan bantuan yang dihulurkan oleh orang lain.
Menetap di Kampung Batu Karang, Suriati yang berkerusi roda sejak akhir tahun lepas setelah kedua belah kakinya mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan motosikal, juga merupakan seorang ibu kepada seorang anak perempuan.
Beliau berkata, sebelum ini, pada tahun 2012, beliau pernah ditimpa kemalangan jalan raya yang menyebabkan tempurung lututnya hancur namun pulih dan boleh berjalan semula selepas hampir dua tahun menderita.
Ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, Suriati mempunyai sikap tidak mahu berpeluk tubuh sebaliknya memanfaatkan kemahiran yang ada pada dirinya untuk menghasilkan donut.
Kata Suriati, sehari, purata 100 biji donut mampu dihasilkannya dan donut itu akan diletakkan di tiga kedai berdekatan rumah.
“Kebiasaannya donut yang saya jual pada harga 30 sen sebiji akan habis.
“Kalau boleh saya mahu sebuah mesin pengadun bagi membolehkan dan memudahkan saya menghasilkan lebih banyak donut selain keperluan, kalau boleh, sebuah motosikal roda tiga,” ujarnya ketika menyatakan hasrat dan impiannya untuk kelangsungan sebuah kehidupan.
Seawal pukul 3 pagi, Suriati akan mula membuat adunan atau doh donut kerana kerja-kerja menguli, dilakukan secara manual iaitu menggunakan tangan.
Anaknya, Aina Zulaikha yang berusia 13 tahun, turut membantu menguli adunan donut. – SM