Beza Annuar Musa dan Hamzah Zainuddin…seorang play safe, satu lagi `licik’
BELANG perhati, barangkali pengamatan Belang ini serupa dengan sebahagian orang UMNO.
Ia tentang karektor setiausaha agung dua gabungan politik. Antara Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Perikatan Nasional (PN).
Kelihatannya sejak Annuar menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, beliau tidak lagi `sehebat’ dulu memperjuangkan dasar-dasar parti khususnya UMNO. Sering mengambil jalan selamat atau kata orang puteh play safe atau ikut rakan-rakan Belang, istilahnya ‘pak turut’.
Apabila UMNO `dipermainkan’ di Sabah terutama membabitkan isu ketua menteri, Annuar tidak lantang, malah kenyataan-kenyataannya berkisar survival UMNO di Negeri Di Bawah Bayu kelihatan `lebih menjaga hubungan dengan PN’ ketika PN sendiri langsung tidak beri muka kepada UMNO, apatah lagi BN Sabah yang longlai.
Cuba semak balik kenyataan-kenyataan Annuar di Sabah waktu itu. Adalah satu dua isu dibangkitkannya. Antaranya berkisar kedudukan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak boleh dilantik ketua menteri yang baharu kerana tidak memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Tegas Annuar, ia selaras Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah. Namun `tegas’ Annuar dalam sekurang-kurangnya membangkitkan `hak’ UMNO mendapatkan jawatan ketua menteri atas alasan 14 kerusi UMNO berbanding 11 kerusi diraih parti Bersatu langsung tidak kedengaran. Setidak-tidaknya satu dua ada lah, tapi `hampas’.
Hanya baru-baru ini sahaja, Belang rasakan Annuar sudah dihentam sana sini oleh sebilangan orang UMNO `kerana lebih fikirkan jawatan dalam kerajaan PN berbanding parti sendiri’, dia bersuara.
Tak silap Belang 14 Oktober, Ahli Parlimen Ketereh itu membuat kenyataan. Itu pun beliau hanya `berpandangan mungkin’ ada asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan PN.
Katanya, UMNO dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa dan tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.
Tidak ada nada ketegasan. Nada `pandangan’ hanya mengakibatkan UMNO akan datang jatuh lagi dalam lubang yang sama.
Bagaimana pula dengan Hamzah Zainuddin. Belang percaya ini juga dikongsi oleh banyak orang UMNO. Hamzah licik memastikan survival Bersatu dan PN. Biarpun Bersatu parti kecil, dari hanya berbelas kerusi, 12 atau 13, kini sudah mencecah 31 kerusi. Beza lapan kerusi sahaja dengan UMNO, 39.
Strategi yang direncanakan Hamzah, biarpun Belang lihat bersifat `jangka pendek’, bukannya jangka panjang, ibarat hari ini untuk hari, esok fikir kemudian, diakui berkesan.
Biarpun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin `terlepas pandang’ atau `tersasul’ mengumumkan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai bakal ketua menteri walaupun penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sabah baru sahaja bermula 12 September, Hamzah bijak `menyembunyikan’ rancangan Bersatu/PN. Cepat-cepat beliau meredakan kegelisahan UMNO.
Hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam cuma 10 minit bila ucapan Muhyiddin menyebut hal itu, pantas menyangkal keras hasrat mahu menaikkan Hajiji itu kerana gelanggang PRN belum lagi dibuka.
Kenyataan Annuar mana waktu itu? Orang UMNO boleh semak apa kata Annuar pada hari berkenaan.
Hamzah dan Annuar berbeza bak `langit dan bumi’. Mungkin elok agaknya setiausaha agung BN tidak berjawatan menteri kerana dengan kaedah itu sahaja yang boleh melihat dan menganalisis secara betul permainan parti lawan.
Annuar boleh `suluh’ diri sendiri apa benarkah apa yang diperhatikan Belang. Belang perhati sahaja, tetapi yang penting penilaian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Opps! kenapa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman begitu lantang – yang pendirian dan prinsipnya yang orang UMNO kenali itulah Tajuddin, biarpun dia sudah berjawatan dalam GLC.-SM