Politik

Rakyat mula bosan dengan orang politik – Salleh

AHLI politik perlu sedar bahawa mereka semakin tidak popular dalam kalangan rakyat yang muak dan bosan dengan pergolakan yang seperti tidak ada penghujungnya.

Malah orang politik kini tidak lagi membawa kesan yang baik kepada rakyat.

“Seorang ahli politik yang baik adalah seorang yang sentiasa peka terhadap denyutan nadi negara, dan seorang yang sentiasa mendengar suara-suara rakyat.

“Ahli-ahli politik dan juga aktivis-aktivis politik amat gemar melaungkan slogan ‘rakyat adalah boss’. Namun, sebaik sahaja dapat menggenggam kuasa, mereka seakan terlupa siapakah sebenarnya ‘boss’.

“Bak kata penjawat-penjawat awam, ahli-ahli politik datang dan pergi, tetapi rakyat tetap di sini sampai bila-bila pun,” kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, sudah tentulah ada masa untuk berpolitik, dan pasti juga ada masa untuk berkhidmat.

Pada masa ini katanya, rakyat sedar bahawa ahli-ahli politik di Malaysia berpolitik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

Rakyat juga katanya, semakin penat melihat gelagat ahli-ahli politik yang hanya memberi tumpuan kepada politik semata-mata sehinggakan tiada masa untuk berkhidmat untuk mereka.

“Persepsi memang penting. Namun, persepsi yang dicipta hari ini sangat tidak baik. Rakyat kini menganggap ahli-ahli politik sebagai tamak dan hanya mementingkan diri sendiri.

“Ini perlu diubah segera. Ahli-ahli politik perlu sedar bahawa mereka kini semakin tidak disukai oleh ramai rakyat yang sudah lesu dan muak dengan kemelut yang tiada penghujungnya.

“Kita perlu terima hakikat bahawa era majoriti dua pertiga, atau pun majoriti mudah di Parlimen oleh hanya satu parti sudah berakhir. Kini, gabungan-gabungan empat atau lima parti pun hanya mampu menang dengan majoriti yang nipis, atau berjaya membentuk kerajaan dalam Parlimen yang hampir tergantung.

“Normal—normal baharu untuk Malaysia bukan hanya melibatkan penjarakan fizikal dan pengasingan diri dari masyarakat umum. Kini ia juga menentukan bagaimana politik harus digerakkan. Parti-parti dan ahli-ahli politik perlu mencari titik persamaan yang boleh membuatkan mereka bekerjasama demi rakyat. Sebaik sahaja tamat pilihan raya, kita perlu segera bekerja demi negara dan rakyat.

“Monopoli dan hegemoni sudah tidak lagi wujud. Yang wujud hari ini adalah perkongsian kuasa. Mereka yang menang, dan mereka yang kalah perlu duduk semeja untuk memikirkan apakah yang terbaik untuk negara. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu meneroka dan mempertimbangkan sedikit konsesi dan tolak ansur,” katanya. – SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button