Politik

Betul ke ‘orang kampung apa sangat nak bayar’ ?

KAGUM juga dengan ayat yang keluar daripada mulut calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Dia kata, “Untuk orang kampung apa nak sangat bayar? Nak makan sayur tanam sendiri. Cuma yang perlu dia mengisi minyak. Jadi bendanya kena bersyukur, walaupun benda tu sikit kita masih boleh makan lagi”.

Ayat itu dikeluarkan Karmaine ketika berceramah dan berkempen untuk memilih dirinya sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.

Lebih menakjubkan ayat itu dikeluarkan betul-betul di depan muka orang-orang kampung yang juga bakal membuat perhitungan pada PRK nanti.

Jika saya penduduk kampung yang mendengar kata-kata Karmaine itu sudah dan saya salah seorang pekebun sawit yang tertekan dengan harga sawit yang rendah ketika ini tentu saya akan melontarkan soalan kepada beliau, “Benarkan orang kampung tidak ada apa sangat nak bayar?”

Memang orang kampung hanya perlu makan sayur yang ditanam sendiri sahaja ke dan kalau teringin makan protin mereka beli sahaja ikan sardin yang harganya kini kira-kira RM6 sekilo? Memang orang kampung tidak perlu makan lauk sedap-sedap seperti ketam, sotong dan udang yang mencecah lebih RM30 sekilo? Ini memerlukan bayaran!

Memang orang kampung tidak mempunyai impian untuk menghantar anak-anak mereka mendapatkan peluang pendidikan ke tahap yang lebih tinggi dan sudah tentunya memerlukan belanja yang besar? Memang orang kampung tak perlu beri wang saku kepada anak-anak pergi ke sekolah? Ini sudah tentu memerlukan bayaran!

Menang orang kampung tidak mempunyai impian untuk hidup senang dan mewah seperti orang lain terutama hidup seperti keluarga pemimpin-pemimpin kerajaan yang boleh memiliki kereta mewah, rumah besar dan sekali sekala merehatkan diri di luar negara? Ini sudah tentu memerlukan bayaran!

Memang orang kampung tak perlu berbelanja untuk membeli baju yang berkualiti untuk keluarga? Memang orang kampung tak perlu membeli barangan keperluan seperti peti ais, mesin basuh dan peti televisyen? Ini semua memerlukan bayaran.

Jadi janganlah sampai hati berkata, “Untuk orang kampung apa nak sangat bayar? Nak makan sayur tanam sendiri. Cuma yang perlu dia mengisi minyak. Jadi bendanya kena bersyukur, walaupun benda tu sikit kita masih boleh makan lagi”.

Orang kampung juga ada impian dan keinginan untuk maju dalam hidup. Malang jika ada pemimpin dan bakal pemimpin tidak tahu aspirasi rakyat.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button