Politik

Bersatu Simpang Renggam enggan lepaskan Maszlee

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Simpang Renggam masih menganggap Dr. Maszlee Malik sebagai ketua bahagian itu.

Penolakan terhadap pelantikan A’zman Mohd. sebagai pemangku dinyatakan mereka kerana Maszlee masih ketua bahagian yang sah mengikut perlembagaan parti.

Malah, dalam satu kenyataan semalam, mereka menolak watikah pelantikan yang dikeluarkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi kenyataan sama juga, Bersatu Simpang Renggam menafikan pemansuhan keahlian Maszlee tidak berlandaskan perlembagaan parti.

“Maszlee menang dalam pemilihan ketua bahagian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan parti sendiri. Beliau bukanlah ketua bahagian penaja.

“Beliau juga masih ahli kerana pemecatan atau apa yang dikatakan terhenti keahlian adalah tidak sah,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu mengumumkan Maszlee bersama empat pemimpin parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq terkeluar dari parti.

Menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian mereka terhenti kerana dudui di kerusi pembangkang dalam sidang parlimen pada 18 Mei lalu.

Maszlee bagaimanapun menyatakan beliau masih ahli Bersatu dan akan menumpahkan taat setianya kepada parti walaupun dikatakan keahliannya terhenti serta merta.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu Simpang Renggam akan terus menyokong Maszlee sebagai ketua.

“Kami AJK Bersatu Simpang Renggam berikrar dan menyatakan taan setia kepada Maszlee sebagai ketua bahagian yang sah.

“Kami akan terus bekerja keras bersama Maszlee untuk mengembalikan maruah parti yang dirobek.

“Malah tidak akan sesekali membenarkan sebarang usaha untuk memecahbelahkan kesatuan akar umbi parti di Simpang Renggam,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button