Politik

Bersatu Sarawak sokong usul tiga jawatan MPT tidak dipertandingkan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sarawak menyokong penuh usul supaya tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam parti itu dikekalkan tanpa sebarang pertandingan pada pemilihan parti bagi memberi ruang untuk mengukuhkan dan mengekalkan kestabilan parti.

Menurut Pengerusi  Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu  Sarawak, Jaziri Alkaf A. Suffian,  jawatan Pengerusi yang dipegang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, jawatan Presiden  yang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Presiden oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu dikekalkan kerana mereka inilah antara pejuang asal dan  pengasas parti  ini dalam melawan parti pemerintah sebelum ini yang terjerumus dalam masalah kleptokrasi.

“Akibat kegagalan Barisan Nasional (BN) menangani masalah rasuah yang begitu teruk ketika itu telah memungkinkan parti Bersatu ditubuhkan sekali gus perjuangan menentang rasuah menjadi agenda utama  parti yang akhirnya  berjaya menubuhkan kerajaan selepas PRU ke 14 lalu bersama parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Jasa ketiga-tiga pemimpin ini terutamanya Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir amat besar dalam mengubah landskap dan hala tuju politik negara.

“Maka seharusnya mereka ini perlu terus diberi peluang memimpin parti dan negara demi mengekalkan kestabilan serta meneruskan usaha memperkukuhkan parti,” kata Jaziri Alkaf.

Ujar beliau, walaupun Sarawak tidak terlibat dalam pemilihan parti kali ini namun memandangkan Bersatu adalah sebuah parti yang masih baharu, sebaik-baiknya semua kepimpinan bahagian dan negeri perlu turut sama memberi sokongan penuh kepada pimpinan parti serta menyokong supaya tiga jawatan utama MPT ini dikekalkan tanpa sebarang pertandingan.

“Malah dengan pengekalan tiga jawatan MPT dalam parti ini adalah diharapkan ia dapat membantu mengekalkan momentum parti dalam membantu Bersatu Sarawak yang akan berhadapan Pilihan Raya Negeri dan dijangka akan berlangsung dalam tahun ini juga,” katanya.

Selain itu ujar beliau, Bersatu Sarawak juga baharu sahaja menamatkan kunjung hormat pusingan pertama terhadap menteri dan timbalan menteri dari parti Bersatu melibatkan 20 bahagian dari Sarawak.

“Kunjung hormat ini adalah antara persediaan dan persiapan Bersatu Sarawak untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.


“Antara kunjung hormat oleh Bersatu Sarawak melibatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Redzuan Md. Yusof, Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator Datuk Marzuki Yahya, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shaharuddin Md. Salleh,” kata Jaziri Alkaf lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button