Politik

Bersatu akan kalah teruk pada PRU15 – Dr. Mahathir

BERSATU atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan kalah teruk pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mereka tidak  menganggotai mana-mana pakatan.

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu bukan anggota Pakatan Harapan (PN) dan tidak juga menganggotai Pakatan Nasional (PN).

Jadi katanya, mereka terkontang-kanting tanpa rakan dan sudah tentu akan kalah teruk pada PRU15.

Malah kat Dr. Mahathir. UMNO sendiri melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui mereka tidak pernah menyertai PN dan gabungan itu tidak berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

“Kita diberitahu oleh UMNO bahawa tidak pernah mereka janji untuk ada satu gabungan bersama Bersatu. Mereka hanya sokong Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menjatuhkan kerajaan PH. Itulah sahaja sokongan yang diberi. Sokongan ini secara individu.

“UMNO sendiri ada pendirian lain. Mereka tidak ada dalam PN dan PN tidak wujud sama sekali, tidak didaftar. Jadi saya hairan apa dia kerajaan Muhyiddin ini? Kalau nak kata kerajaan PN, PN tidak ada,” katanya dalam ucapan melalui rakaman video sempena ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 malam tadi.

Pada masa sama kata Dr. Mahathir, Bersatu juga tidak mendapat sokongan dari PH.

Jadi, katanya, parti itu terkontang-kanting tanpa ada daratan dan bakal kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang.

Malah katanya, harapan orang Melayu untuk melihat UMNO diganti dengan sebuah parti berasaskan Melayu yang lain tidak akan tercapai.

“Ahli Bersatu harus sedar bahawa janji Muhyiddin untuk mengadakan satu gabungan bersama Umno dan PAS tidak wujud,” katanya.

“Bagi ahli Bersatu saya nak ingatkan apabila mereka berpecah menjadi dua kumpulan, satu menyokong Muhyiddin untuk tubuh kerajaan, mereka harus sedar janji Muhyiddin mengadakan gabungan dengan UMNO dan PAS tidak ada. Tak wujud.

“Jadi, apa kedudukan Bersatu? Di satu pihak mereka tidak dapat sokongan daripada UMNO, di pihak lain mereka tak dapat sokongan dengan PH. Jadi tinggal Bersatu terkontang-kanting, besar kemungkinan akan kalah teruk,” katanya.

Dr. Mahathir meminta anggota Bersatu melihat semula kenapa mereka mereka menyertai parti itu dan menilai semula kesetiaan mereka.

“Fikirlah mendalam. Ya kita patut setia tetapi jangan setia kepada pemimpin. Pastikan pemimpin itu berjuang untuk bangsa, negara dan agama, baru kita boleh setia kepada mereka.

“Orang yang hanya berjuang untuk dirinya…Walaupun dia pemimpin kita, janganlah kita rosakkan diri kita dengan setia kepadanya,” katanya.

PH yang merupakan gabungan Bersatu, PKR, DAP dan PAN telah menang pada PRU14 untuk membentuk kerajaan dengan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Kejayaan itu juga berjaya menamatkan penguasaan  Barisan Nasional (BN) dalam pemerintahan Malaysia selama 60 tahun.

Tetapi, mereka hanya bertahan selama 22 bulan apabila pada akhir Fabruari 2020, apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar dari PH dan membentuk pakatan baharu bersama Pas dan disokong oleh UMNO.

Sekumpulan ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menyertai Muhyiddin  menubuhkan kerajaan PN.

Ekoran itu, Bersatu kini berpecah dua, dengan satu kumpulan bersama Dr. Mahathir dan satu lagi di pihak Muhyiddin.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya baru-baru ini tampil mengatakan bahawa parti itu tidak pernah keluar dari PH.

Marzuki turut mengingatkan kepemimpinan utama parti bahawa kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Dr. Mahathir yang telah disahkan menang tanpa bertanding selaku pengerusi.

Ia, tegas beliau, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.

“Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir sebagai penyandang jawatan pengerusi.

“Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti bahawa tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button