Nasionalpilihan

Berpanas, berhujan gigih jual sate walau upah hanya RM4

Demi mencari sesuap nasi seorang lelaki sanggup berpanas dan berdiri selama tujuh jam di tepi jalan Klebang Besar berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut, Klebang dekat sini sambil
memegang sepanduk menjual sate drive thru setiap hari.

Bagi pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut sudah tentunya dapat melihat akan kegigihan seorang lelaki memegang sepanduk mengharapkan orang ramai singgah membeli sate yang telah siap
dibakar.

Muhammad Hanif Nordin, 34, dari Bukit Baru berkata, walaupun pendapatan yang diperolehi sekadar cukup makan dengan upah RM4 bagi setiap bungkus 25 cucuk sate yang dijualnya itu sudah mencukupi
baginya.

“Memang memenatkan berdiri tanpa henti tetapi demi mencari rezeki saya tabah dan mengharapkan ada pelanggan singgah beli sate drive thru.

“Sate ini sudah siap dimasak dan dibungkus dengan baik. Dalamnya ada 25 cucuk iaitu 15 ayam dan 10 daging termasuk kuah kacang, timun dan dua nasi himpit dijual RM30 sebungkus.

“Upah saya menjual RM4 bagi setiap bungkus kalau 30 bungkus habis dapatlah saya pendapatan sehari RM120 dan kadang-kadang tak habis, ada rezeki terjual 15 bungkus dapatlah gaji RM60,” ujarnya
yang masih belum berkahwin.

Muhammad Hanif yang berasal dari Muar itu berkata, kadang-kadang dia terpaksa berhujan namun gigih mengharapkan orang ramai singgah membeli sate yang dijualnya.

Menurutnya, dia mula menjual sate tersebut selepas kehilangan pekerjaan sebagai perunding perniagaan sewaktu negara dilanda wabak Covid-19.

Katanya, selepas kehilangan pekerjaan pelbagai kerja dilakukannya termasuk menjual sate dengan mengambil upah RM4 bagi setiap bungkus dijualnya yang kini menjadi sumber rezekinya hingga kini.

“Pendapatan tidaklah banyak dalam sebulan dapatlah antara RM2,000 hingga RM2,500. Itu cukup-cukup nak bayar sewa rumah, kereta dan hantar duit kepada mak dan ayah di Muar,” ujarnya.

Dia tidak menafikan banyak dugaan yang diharungi ada ketikanya dapat menjual antara lima hingga 10 bungkus dan kadang-kadang tidak terjual langsung namun dia redha menerimanya.

Ujar anak sulong daripada lima beradik itu, dia berazam untuk membuka perniagaan tetapi tidak mempunyai cukup modal. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button