Politik

Bergaduh dengan semua PM, semoga Tun Mahathir mendapat hidayah

ulama

HABIS diserang habis-habisan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Habis semua orang salah. Naratif yang sama dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbarnya di Yayasan Kepimpinan Perdana Menteri sebentar tadi – topiknya kita semua maklum.

Kelibat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakil-wakil PKR bagaimanapun tidak muncul bersama Pengerusi BERSATU itu.

Yang ada hanya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) serta Datuk Seri Mukhriz.

Hakikatnya, itula juga Dr. Mahathir hari ini.

Perdana Menteri yang lain semuanya serba tak kena di mata beliau. Dulu Dr Mahathir bergaduh dengan dua orang bekas Perdana Menteri sekali gus pada 1987 (Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn).

Tun Abdullah Ahmad Badawi (PM ke-5), Datuk Seri Najib Tun Razak (PM ke-6) dan terbaharu, Muhyiddin tidak terlepas dari `cengkaman’ Dr. Mahathir.

Hanya seorang sahaja Perdana Menteri yang tidak `diganggu’ oleh Dr Mahathir iaitu PM ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Bekas timbalan beliau dari 1981 hingga 1986, Tun Musa Hitam mencatatkan dalam memoirnya, ‘Frankly Speaking’ pada 2016 bahawa Kabinet waktu itu menggelar Dr. Mahathir sebagai ‘Tok Bomoh’.

“Sebagai contoh, beliau menggelar seorang menteri kabinet ‘Mat Bulat’. Ini adalah panggilan yang tidak sesuai yang menunjukkan bahawa menteri itu tidak disenangi oleh Perdana Menteri (Dr. Mahathir).

“Malah, saya hampir pasti bahawa beliau mempunyai gelaran untuk setiap daripada kami dalam kabinet. Sesetengah kami bercadang bertindakbalas. Oleh itu, kami memberinya nama ‘tok bomoh’,” kata Musa dalam bukunya.

Musa yang kini berusia 86 tahun menyifatkan Dr. Mahathir sebagai pemimpin politik yang pintar dan mampu mengeksploitasikan emosi sehingga menyebabkan orang Melayu berfikir beliau memperjuangkan nasib mereka.

“Saya fikir itu sebabnya beliau sering berkata, orang Melayu bodoh. Kemahiran politiknya menakjubkan,” katanya.

Bagi Musa, Perdana Menteri ke­empat itu mengambil strategi menyerang bagi mengelakkan orang lain mendedahkan salah lakunya.

Ujar Musa, Dr. Mahathir boleh mencetuskan gelora, namun tetap yakin beliau tidak akan menderita ekoran tindakannya itu, sebalik­nya terus memiliki keyakinan tinggi dapat menguasai keadaan.

Pemblog, tambahnya, mungkin berkata terhadap Dr. Mahathir, “Hey, bagaimana dengan keadaan ketika anda menyelamatkan anak anda menggunakan duit Petronas?” Tetapi adakah itu menakutkan beliau? Sama sekali tidak,” kata Musa lagi.

Dr. Mahathir didakwa telah menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat perkapalan milik anaknya ketika krisis kewangan pada akhir 1990-an.

Musa meletak jawatan pada Februari 1986. Katanya, beliau mengambil masa lama untuk melepaskan jawatannya selepas berkonfrontasi dengan Dr. Mahathir kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara.

Ia termasuk memberi penjelasan penuh kepada orang ramai berhubung peristiwa Memali, menyediakan kertas putih berhubung perkara itu dan lawatan tertangguh perdana menteri ke kawasan Parlimen Kota Tinggi.

Dr. Mahathir yang bersikap kritis terhadap memoir Musa itu bagaimanapun membalasnya:
“Kegagalan pertama saya adalah Musa Hitam sendiri. Dia tidak sabar menunggu saya untuk bersara.

“Oleh itu, dia letak jawatan selepas lima tahun bersama sebagai timbalan saya di dalam kerajaan yang budak-budaknya namakan sebagai kerajaan MM,” tulis Dr. Mahathir dalam blognya pada 25 Februari 2016.

Ada pihak berkata. Ya, beliau semacam seorang yang terpilih dan seorang pemimpin yang unik lagi disegani.

Tetapi pada usia 94 tahun beliau seharusnya bersedia untuk berehat.

Sesungguhnya Allah menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah. Rekod dunia Perdana Menteri tertua sudah dipecahkan oleh Dr Mahathir.

Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni.

Cuma yang tinggal untuk dicapai ialah hasrat rakyat untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan di bawah Muhyiddin, Perdana Menteri kelapan.

Berilah ruang Tun! Semoga Tun mendapat hidayah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button