Politik

Survival hidup mati Bersatu di tangan Muhyiddin, Dr. Mahathir

SOAL survival Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini terletak di tangan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menentukan penamat kemelut kedua-dua pemimpin tersebut.

Hanya selepas itu, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU Tan Sri Syed Hamid Albar, mereka bersama akan memastikan keadaan parti seperti sedia kala.

 

“Keadaan masa ini berkecamuk. Saya sudah buat kenyataan dua bulan lalu bahawa mesti ada satu penyelesaian.

“Kini terserah kepada Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sebelum ini, Syed Hamid mengingatkan kedua-dua pemimpin tertinggi BERSATU itu harus memastikan parti itu sihat seperti mana namanya “Bersatu”.

Syed Hamid menarik perhatian tersebut kerana rakyat terutama ahli parti kini keliru dan hilang arah kerana parti kelihatan telah berpecah kepada ‘2 Bersatu’.

Satu pihak, kata beliau, diketuai Muhyiddin berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai UMNO dan Pas manakala satu lagi dikepalai Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan (PH).

Syed Hamid turut mempersoalkan sama ada parti yang kelihatan berpecah tidak bersatu seperti itu boleh berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15?

“Apatah lagi kalau diperhatikan kalangan pemimpin Barisan Nasional ada menyatakan ia (PN) hanya peringkat kerjasama antara ahli-ahli parlimen.
“Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional ini antara UMNO dan Pas, saya tak pasti adakah Bersatu ada tempatnya dalam gabungan ini (PN)?

“Banyak benda masih kabur, ahli-ahli Bersatu di bawah terus keliru,” kata beliau. – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button