BeritaPendidikan

Berbaloi pengorbanan Sa bina pondok untuk anaknya temubual atas talian UPSI

TANJUNG MALIM: Seorang anak muda dari Rumah Suing, Teberu, Pakan, Betong, Sarawak , Frank Steward Anak Sa, 21, terharu dan berterima kasih kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti pendidikan termasyhur itu.

Surat tawaran dari UPSI untuk Frank Steward melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) bagi sesi 2022/2023 bermula Mac itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustine Betong, Sarawak itu melahirkan kegembiraan diterima menjadi pelajar UPSI dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya berharap dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menjadi pendidik yang berjasa untuk negara,” katanya.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI komited dalam melahirkan bakal guru sesuai dengan fokus utama universiti menjadi UPSI No 1 Pendidikan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Frank Steward yang memilih UPSI sebagai destinasi pengajian peringkat ijazah pertamanya dan berharap dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar yang cemerlang,” katanya.

Katanya, tawaran itu memberi peluang untuk Frank Steward menjadi pendidik yang akan kembali berkhidmat di negeri kelahiran sekali gus dapat membantu mengubah nasib dan masa depan keluarga.

Sementara itu Dr Norkhalid berkata UPSI sangat memahami dan bersimpati dengan masalah calon yang memohon memasuki UPSI, namun menghadapi masalah capaian internet seperti apa yang dialami Frank Steward.

Beliau berkata berbanding sebelum negara diserang COVID-19, semua temu duga diadakan secara bertulis dan bersemuka, namun berubah kepada secara dalam talian termasuk sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sejak COVID-19 melanda.

Norkhalid (kanan) menyampaikan surat tawaran kepada Frank Steward di Pejabat Pendidikan Daerah Betong, Sarawak pagi tadi.

Hadir sama menyaksikan penyerahan surat tawaran itu , Timbalan PPD Sektor Pembangunan, Azmi Abdullah; Pengarah Akademik UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril.

Baru-baru ini sebuah portal berita menyiarkan kisah pengorbanan ayah Frank Steward yang mendirikan khemah di kawasan Bukit Kelingkang agar mendapat capaian internet bagi membolehkannya menjalani temu duga secara dalam talian.

Bapanya , Sa anak Ujom, 52, seorang petani dikatakan sanggup meredah jalan balak yang memakan masa dua jam perjalanan untuk mendirikan khemah berkenaan.

Sa berasa gembira dan bangga dengan kejayaan Frank Steward dan berharap anaknya itu belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi pendidik yang cemerlang.

Kisah Frank Steward tular di media sosial apabila abangnya Mario Anak Sa memuat naik di Facebook baru-baru ini.

Sempena majlis itu, turut diadakan Sesi perkongsian amalan terbaik Pendidikan Khas yang disampaikan Dr Abdul Rahim kepada guru-guru Pendidikan Khas sekitar Daerah Betong.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button