Bengkel terbakar: Lengan seorang warga emas melecur
SEORANG warga emas melecur pada bahagian lengan akibat disambar api semasa cuba membantu mengawal kebakaran.
Hassan Mohamad @ Ahmad, 85, seorang pesara guru ini dikatakan telah menggunakan getah paip air bagi memadam api yang dilihat mula menjilat tempat letak kereta rumahnya.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam, sebuah bengkel kenderaan yang terletak bersebelahan rumah di No 1, Taman Guru, Kangar musnah dijilat api.
Bagaimanapun anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke rumah bersebelahan.
Beritahu anaknya, Dr Hazman yang juga Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), ayahnya baharu sahaja hendak mandi sebelum menunaikan fardu Zohor.
Kata Dr Hazman, ayahnya yang berada sorang diri di rumah itu ketika itu mula menyedari ada kebakaran apabila terhidu bau asap.
Bagaimanapun, ayahnya sempat menelefon beliau yang ketika itu yang berada di tempat bertugas untuk memberitahu berlaku kebakaran.
Beliau amat bersyukur kerana ayahnya hanya cedera ringan dan rumah mereka terselamat dari terbakar.
Akibat kecederaan itu, kata Dr Hazman, ayahnya dibawa untuk rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar oleh kakaknya, Husna.
“Doktor telah mengesahkan lengan ayah melecur pada tahap “first degree burn”,” katanya.
Dr Hazman berkata, kebakaran itu dikatakan bermula dari bengkel kenderaan milik arwah abang ipar yang meninggal dunia lima tahun lalu.
“Sejak itu bengkel berkenaan tidak beroperasi tetapi masih ada beberapa buah kenderaan,” katanya.
Kata Dr Hazman, beliau dan keluarga menghargai kecekapan JBPM Perlis yang berjaya mengawal api yang bermula bengkel itu hanya jarak tiga meter sahaja dari rumahnya.
Sementara itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs dan Raja Puan Muda, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melawat ke rumah Dr Hazman.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – SM