PADA pengamatan saya, negara akan dapat melihat satu landskap politik yang baharu selepas hari mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Tak lama pun PRN Johor akan berlangsung dan sebagai peringatan, hari Sabtu ini, 26 April ialah hari penamaan calon yang bakal bertanding dan pada 8 Mac pula, hari mengundi awal bagi rakyat negeri Johor.
PRN Johor juga akan memperlihatkan jumlah parti yang banyak yang akan bertanding untuk mencuba nasib mereka dalam gelanggang politik dan relevan.
Selain daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), PRN Johor juga akan memperlihatkan Parti Pejuang, Warisan, MUDA, Parti Bangsa Malaysia dan PUTRA bertanding dan meletakkan calon-calon mereka.
Bangsa Johor akan mempunyai banyak pilihan. Undi automatik 18 tahun juga akan memperlihatkan hampir 750,000 pengundi baharu akan mengundi. Ini satu jumlah yang besar dan signifikan yang boleh merubah keputusan satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
PRN Johor walau pun dikatakan perlu diadakan untuk mendapat mandat baharu dari rakyat Johor kerana Kerajaan Negeri Johor hanya mempunyai majoriti satu kerusi.
Tetapi yang amat jelas kelihatan pada penglihatan saya ialah PRN Johor bertujuan menghancurkan kekuatan parti BERSATU dalam Kerajaan. Sama seperti yang berlaku di Melaka.
UMNO mahu menjadi parti dominan dan meninggalkan BERSATU, PAS dan PN dari Kerajaan Negeri Johor. Ini juga dilihat sebagai satu usaha kearah berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti agar momentum ini digerakkan ke arah memenangi PRU15 dengan cemerlang.
Langkah PRN Johor ini akan memperlihatkan pertembungan yang sengit antara UMNO (BN) dengan BERSATU (PN) dan PH kerana mereka tahu ini merupakan satu medan perang yang amat penting bagi menentukan pengaruh dan angin pengundi sebelum PRU15.
Terdapat juga ura-ura di satu pihak mahu mengadakan satu pakatan politik secara longgar untuk menentang calon-calon UMNO dan BN di PRN Johor ini.
Adalah amat sukar untuk lakukan ini dengan begitu banyak parti akan bertanding termasuk Pejuang, Warisan dan Muda.
Apa pun kita tunggu hari penamaan calon pada 26 Februari 2022 ini dan kempen besar-besaran akan bermula sebelum hari mengundi yang jatuh pada 12 Mac nanti. – SM