Belang Bertempat

Belanjawan aneh, dalam situasi getir

NEGARA sedang berdepan situasi getir. Kemerosotan ekonomi berpunca daripada penularan wabak Covid-19 perlu ditangani dengan bijak.

Harapan sangat tinggi diletakkan kepada Belanjawan 2021, selain menjadi penenang kepada orang ramai yang tertekan, ia juga perlu penawar kepada masalah wabak dan kemelesetan ekonomi.

Bagaimanapun harapan itu ternyata sebaliknya. Peruntukan lebih RM80 juta kepada penubuhan semula Jasa, iaitu agensi propaganda yang dimansuhkan semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Alasan bahawa agensi itu berperanan sebagai usaha melaksanakan program perpaduan adalah sangat klise dan sukar dipercayai.

Jasa dengan peruntukan besar lebih kepada menjalankan kerja-kerja politik termasuk menaja blogger dan tentera siber semata-mata.

Datuk Seri Najib Razak ketika membahaskan belanjawan mewakili Barisan Nasional juga tidak bersetuju dengan peruntukan besar disalurkan kepada Jasa, dalam situasi rakyat terhimpit.

Satu lagi peruntukan aneh ialah tidak kurang juga besar iaitu juga lebih RM8 juta ialah disalurkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan Penggerak Komuniti.

Pertubuhan itu diwujudkan semata-mata untuk menyalurkan dana dari kerajaan kepada ahli politik yang ketiadaan platform selepas keluar dari PKR.

Sudah  pasti modus operandi tidak jauh berbeza dengan Jasa.

Bahkan lebih parah pertubuhan yang dianggotai oleh bekas ahli PKR itu juga begitu rakus termasuk mendesak kerajaan-kerajaan negeri memberi mereka jawatan sebagai ahli majlis sekurang-kurangnya.

Jadi adalah wajar belanjawan kali ini dikaji semula dan diubah suai selepas dibahaskan di Parlimen sebelum ia diluluskan.

Jika ia gagal diubah suai, kemungkinan besar belanjawan ini tidak akan mendapat kelulusan dan akhirnya negara ini akan terjerumus ke dalam situasi yang lebih buruk.

Pentadbiran negara tidak dapat dijalankan dan gaji kakitangan awam tidak dapat dibayar.

Jika sampai ke tahap itu, tidak mustahil yang bersabar selama ini dengan kerenah orang politik akan ke jalan bagi meluahkan rasa kecewa sebagaimana berlaku di beberapa buah negara.

Kerajaan hari ini tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua pihak menyokong belanjawan kali ini dengan merangka belanjawan yang semberono dan untuk kepentingan kelompok sendiri.

Belanjawan kali ini haruslah luar daripada kebiasaan bagi membawa negara ini keluar dari kemelut dan bukannya menjerumuskan negara ke dalam situasi lebih buruk dek kerana kerakusan orang politik.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button