Nasional

Cikgu tadika putus asa, terpaksa cari kerja lain

BEBERAPA buah negara di Eropah termasuk United Kingdom tetap membenarkan tadika dan sekolah dibuka walaupun perintah berkurung dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan virus korona.

Apa yang dilakukan oleh negara Perancis, Jerman dan Itali mereka melarang aktiviti bersosial orang dewasa, tetapi tetap membenarkan sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak dengan standard prosedur baharu yang diperketat.

Wabak berkenaan ditularkan oleh orang dewasa yang tidak mengawal pergerakan dan gagal mematuhi prosedur penjarakan fizikal dan lain-lain lagi.

Ini bukan kali pertama perintah berkurung dilaksanakan di negara berkenaan dan jika para pelaksanaan perintah itu turut menutup sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak, tetapi mereka mengubah suainya setelah belajar daripada kesilapan awal.

Di Malaysia kerajaan yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk tempoh sebulan lagi memutuskan sekolah dan tadika ditutup.

Selain menyukarkan ibu bapa yang perlu bekerja, tindakan itu menyebabkan para pengusaha tikar dan pengusaha kantin bakal gulung tikar.

Ketua Pegawa Eksekutif Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim memaklumkan penutupan pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di seluruh negara sejak Mac lalu menyebabkan guru-guru berhenti beramai-ramai.

Mohd Fadzil  berkata, situasi yang berlaku sekarang menyebabkan ramai guru pusat pendidikan awal kanak-kanak memilih karier baharu untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.

“Keutamaan kita sekarang ialah untuk meneruskan pendidikan awal kanak-kanak yang mana lebih 90 peratus bergantung kepada sektor swasta untuk menyediakan pusat pendidikan tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang ialah banyak cikgu yang sudah berputus asa untuk menyambung mengajar, sebab kerajaan buat keputusan tanpa memikirkan nasib pusat pendidikan awal kanak-kanak ini.

“Jadi, kalau tiada cikgu, tiada siapa yang akan mengajar kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Sokongan Untuk Kelangsungan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sekolah Swasta di Malaysia bersama-sama pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di pusat beli belah Malakat Mall di Cyberjaya, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, keadaan tersebut jika dibiarkan tanpa penyelesaian segera akan membahayakan negara kerana pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu tempoh yang penting dalam pendidikan manusia.

Malah, katanya, untuk Malaysia menuju sebagai sebuah negara maju, pendidikan modal insan iaitu pada tempoh enam tahun yang pertama perlu diperkasakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersama Persatuan-Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sekolah Swasta akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneliti semula penutupan pusat pendidikan itu, esok.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kebimbangan pelbagai pihak sekiranya berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) jika pusat pendidikan itu dibuka semula, beliau menegaskan, kanak-kanak merupakan golongan yang paling patuh mendengar nasihat dan arahan guru berbanding golongan dewasa.

Malah, tegasnya, sejak kerajaan mengumumkan SOP berkaitan pusat pendidikan awal kanak-kanak, semua pengusaha terlibat telah mengikutinya tanpa bantahan.

Sementara itu, menurut Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia, Siti Ruzita Ramli, pihaknya mencadangkan supaya penutupan semua pusat pendidikan hingga hujung Januari dikaji semula.

“Cadangan kami ialah supaya penutupan dibuat hingga akhir Disember ini sahaja dan pengumuman dibuat untuk tadika dan sekolah dibuka pada awal Januari tahun hadapan.

“Selanjutnya sekiranya ada kes baharu, penutupan perlulah dibuat dengan lebih bersasar hanya untuk kawasan tadika dan sekolah yang mempunyai kes sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana penutupan itu bukan sahaja memberi kesan pembelajaran awal kanak-kanak tersebut malah menyusahkan ibu bapa yang perlu bekerja sama ada di pejabat atau bekerja dari rumah.

Seorang pengusaha kantin memberitahu Suara Merdeka beliau yang telah kehilangan pekerjaan baharu sahaja memperolehi tender mengusahakan kantin sekolah.

Bagaimanapun tindakan diambil kerajaan menyebabkan beliau terpaksa melaksanakan usaha lain dan modal yang dikeluarkan akan hangus sebegitu sahaja.

“Apakan daya, selepas hilang kerja saya cuba dapatkan tender kantin, kini kantin pula tutup, sudah tidak ada rezeki, terpaksalah ikhtiar yang lain pula,” katanya.

Artikel asal disiarkan di Malakat Tribune

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button