PolitikRencana

Perbahasan Belanjawan 2021: UMNO-BN, PKR, DAP, Amanah sepakat

Analisis

MENYOROTI perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat sejak semalam memperlihatkan satu titik tengah yang menyatukan empat parti.

Perbahasan yang dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah-hujah membela rakyat dalam situasi negara berhadapan krisis.

Hujah-hujah tersebut dilihat berfokus kepada isu pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian moratorium secara automatik.

Isu kedua pula adalah peruntukan sebanyak RM81.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dibahaskan bersama.

Siapa sangka, hujah tersebut kemudian disambut seteru Anwar iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada hari kedua turut menghujahkan isu sama dalam perbahasan belanjawan.

Meskipun perbahasan Anwar lebih lancar berbanding Najib Razak, namun suara yang dibawa ke dalam Dewan Rakyat adalah sama.

Kemudian disusuli juga dengan perbahasan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Kedua-dua pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menyentuh hal yang sama dalam perbahasan masing-masing iaitu moratorium secara automatik, KWSP dan juga menentang peruntukan kepada Jasa ketika rakyat sedang bergelut ekoran tekanan ekonomi.

Setuju isu KWSP, moratorium, tolak peruntukan Jasa

Hujah tersebut turut disambut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menekankan pemberian moratorium secara terbuka dan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

Malah, Ahli Parlimen Pontian itu mencadangkan pemberian moratorium terus diberikan kepada peminjam yang mempunyai pinjaman di bawah RM500,000.

Lebih menarik, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dilihat kagum dengan perbahasan yang disampaikan Mohamad Sabu yang bersahaja tanpa membaca teks.

Menerusi perbahasan daripada ketua-ketua parti dalam Parlimen selama dua hari ini berjaya mewujudkan kesepakatan UMNO – Barisan Nasional (BN), PKR, DAP dan Amanah dalam Belanjawan 2021.

Kesemua mereka sepakat dan kelihatan sederap dalam memastikan nasib rakyat dibela dalam Belanjawan 2021 yang diharapkan menjadi penawar kepada krisis ekonomi akibat pandemik Koronavirus (Covid-19).

Selain itu, isu yang turut diketengahkan adalah nasib rakyat di Sabah dan Sarawak apabila peruntukan yang dicadangkan dalam belanjawan tidak mencerminkan manifestasi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

Memaknai titah Agong

Justeru, dalam memaknai titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, terserlah harapan kestabilan politik seperti diharapkan baginda dalam Belanjawan 2021.

Oleh demikian, keharmonian kesepakatan ini bergantung kepada pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk memastikan pengeluaran KWSP, moratorium dan pembatalan peruntukan kepada Jasa dilaksanakan.

Lebih daripada itu juga, pimpinan UMNO-BN, PKR, DAP dan Amanah dilihat sepakat untuk menyokong meluluskan belanjawan dengan perbahasan yang dikemukakan semalam dan hari ini.

Kestabilan politik itu kini bergantung kepada Bersatu dan Pas sama ada untuk bersetuju dengan kesepakatan tersebut yang membela rakyat ataupun sebaliknya. – SM

(Visited 696 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button