Politik

Belanjawan 2024 Malaysia Madani: Impak negatif kepada rakyat-Shahrulufti Sharif

Peruntukan RM393.8 bilion

JUMAAT lepas, 13 Oktober, Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil masa kurang lebih tiga jam untuk membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Selepas berhujung minggu, hari ini, kita tengok apakah pandangan daripada Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif tentang belanjawan yang kali kedua dibentangkan oleh Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 (PMX).

KETUA Penerangan Parti Putra Malaysia, Shahrulufti Sharif

Menurut Shahrulufti, Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan oleh Anwar adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah peruntukan RM393.8 bilion.
“Belanjawan ini bertemakan ‘Memperkasa Malaysia Madani’ yang mempunyai tiga tumpuan utama iaitu tatakelola terbaik, penstrukturan semula ekonomi dan peningkatan darjat hidup rakyat.

“Namun beberapa impak negatif yang mungkin berlaku akibat daripada belanjawan ini seperti Risiko Kenaikan Hutang Negara dan Defisit Fiskal,” kata Shahrulufti dalam kenyataannya.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 Malaysia Madani adalah belanjawan defisit yang bermaksud perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan kerajaan.

Jelas Shahrulufti, defisit fiskal untuk tahun 2024 dijangka sebanyak RM86.9 bilion atau 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini bermakna kerajaan perlu meminjam wang untuk menampung perbelanjaannya. Hutang negara dijangka meningkat kepada RM1.3 trilion atau 83.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2024. Ini adalah paras tertinggi dalam sejarah negara,” jelas Shahrulufti dalam kenyataannya.

Kata Shahrulufti lagi, kenaikan hutang negara dan defisit fiskal boleh menjejaskan kredibiliti dan keberkesanan kerajaan dalam menguruskan ekonomi.

Oleh itu, beliau berkata, Kerajaan mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah atau menghadapi tekanan daripada pihak pemberi pinjaman untuk melaksanakan dasar-dasar yang tidak popular atau tidak sesuai dengan kepentingan negara.

Tambah beliau, Kerajaan juga mungkin terpaksa mengurangkan peruntukan untuk sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan atau pertahanan untuk menjaga keseimbangan fiskal.

“Ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan awam dan kemampuan negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Belanjawan yang telah dibentangkan itu turut memberi impak atau kesan kepada risiko inflasi dan kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia, katanya.

“Belanjawan 2024 Malaysia Madani mengandungi pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban rakyat.

“Antara inisiatif tersebut adalah peningkatan gaji minimum, bantuan sara hidup, elaun pengangguran, insentif pekerjaan, pengurangan cukai pendapatan, pengecualian cukai hiburan, subsidi harga barangan asas dan bantuan kewangan untuk pendidikan, kesihatan, perumahan, dan pengangkutan.

Rakyat mungkin merasakan bahawa belanjawan ini tidak adil, tidak berkesan atau tidak mencerminkan aspirasi mereka, kata Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia (PUTRA) Shahrulufti Sharif tentang belanjawan yang kali kedua dibentangkan oleh Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 (PMX).- GAMBAR HIASAN – SUARA MERDEKA

“Inisiatif-inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan daya beli dan kualiti hidup rakyat namun inisiatif-inisiatif ini juga mungkin menimbulkan risiko inflasi dan kenaikan kos sara hidup jika permintaan melebihi penawaran atau jika kos pengeluaran meningkat. Inflasi bermaksud kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara am,” katanya secara terperinci.

Shahrulufti berkata, kenaikan kos sara hidup bermaksud kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup.

Sehubungan itu, katanya lagi, inflasi dan kenaikan kos sara hidup boleh menjejaskan daya beli dan kualiti hidup rakyat jika pendapatan mereka tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga.

“Rakyat mungkin terpaksa mengurangkan penggunaan atau menyesuaikan gaya hidup mereka untuk menampung kos yang lebih tinggi. Ini boleh menjejaskan kebajikan dan kegembiraan rakyat,” katanya.

Shahrulufti  juga menyentuh tentang risiko ketidakstabilan politik dan sosial sebagai antara impak yang diperoleh daripada pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada 13 Oktober, Jumaat, lalu.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 Malaysia Madani adalah belanjawan yang mengambil kira kepelbagaian dan keperluan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya, dan latar belakang.

Katanya, belanjawan ini bertujuan memastikan kesejahteraan, kemajuan dan keadilan rakyat tanpa mengira perbezaan mereka.

“Belanjawan ini juga mengandungi langkah-langkah untuk memperkukuhkan perpaduan nasional melalui pelaksanaan Rukun Negara, pengukuhan institusi demokrasi, penambahbaikan sistem pendidikan dan pemerkasaan masyarakat sivil,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, kata Shahrulufti, belanjawan ini juga mungkin menimbulkan risiko ketidakstabilan politik dan sosial jika rakyat tidak berpuas hati dengan pelaksanaan belanjawan atau merasakan tidak mendapat manfaat daripadanya.

“Rakyat mungkin merasakan bahawa belanjawan ini tidak adil, tidak berkesan atau tidak mencerminkan aspirasi mereka.

“Rakyat mungkin juga merasakan bahawa belanjawan ini mengabaikan atau mengancam hak dan kepentingan mereka. Ini boleh menimbulkan ketegangan, perpecahan dan protes dalam kalangan rakyat. Ini boleh menjejaskan keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya. – SM

BACA Belanjawan 2024: PM Anwar bentang 4 petang ini

BACA Belanjawan MADANI memastikan kesejahteraan rakyat-Altimet

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button