Nasional

Belanjawan 2021: Moratorium perlu diberi secara automatik

KESAN positif moratorium perlu dilihat sebagai dasar kerajaan supaya melaksanakannya secara automatik kepada semua rakyat Malaysia.

Bukannya bersasar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam yang terhad kepada golongan dalam tempoh tertentu.

Ini kerana, kesan pemberian moratorium seperti yang diberikan pada April hingga September lalu membolehkan rakyat berbelanja.

Kerajan perlu membantu rakyat dengan mengurangkan tekanan sara hidup ketika krisis ekonomi dengan memastikan kitarannya berlaku.

Justeru, pemberian moratorium bukan sahaja mengurangkan bebanan sara hidup, tetapi dapat memastikan rakyat berbelanja dan menggerakkan ekonomi.

“Sepatutnya moratorium tidak diberikan secara bersasar, sebaliknya diberkan secara automatik untuk satu tempoh lagi.

“Yang itu akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara sebab moratorium akan menyebabkan rakyat boleh berbelanja.

SAMSUDIN MOHAMAD FAUZI

“Itu sepatutnya bukan bersasar, beri moratorium sekali lagi secara automatik.”

Demikian kata Yang Dipertua, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam memberitahu, moratorium itu penting dalam memastikan rakyat mempunyai kuasa beli ketika krisis ekonomi.

KWSP bersasar, tepat

Tambahnya, kemudahan yang tepat diberikan kerajaan adalah pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, jika diberi secara tidak bersasar, kemungkinan wujud salah guna dan menyebabkan lebih ramai rakyat terjebak dengan masalah penipuan atau ‘scam’.

“Sebenarnya bila kerajaan bagi keluarkan RM10,000 walaupun duit daripada KWSP, tetapi saya tidak lihat apa yang rakyat hendak buat dengan duit tersebut.

“Kedua, saya rasa duit itu akan habis sekejap sahaja. Mungkin akan disalahguna paling teruk mereka mungkin buat bayar hutang Ah Long, kena tipu lagi dengan ‘scammer’ dan sebagainya.

“Apa yang kerajaan beri, keluar RM500 setiap bulan kepada golongan sasar itu tepat. Memang golongan sasar perlukan bantuan.

“Sekarang mereka (yang diberhentikan keraja) dapat bantuan Skim Insurans Pekerjaan (SIP), kemudian daripada Akaun 1 KWSP boleh keluarkan RM500.

“Sementara Akaun 2 pula masih lagi dikeluarkan sehingga bulan Mac tahun hadapan. Kalau dijumlahkan semua, cukuplah untuk mereka bertahan sementara mencari kerja,” jelasnya.

Katanya lagi, rakyat perlu melihat dari sudut sikap ‘jangan pentingkan diri sendiri’ kerana simpanan KWSP adalah bagi kegunaan masa hadapan.

Jangan pentingkan diri sendiri

Bermakna, rakyat perlu memikirkan apa yang akan terjadi kepada tanggungan sekiranya ‘the breadwinner’ meninggal dunia.

“Kerajaan memang jaga masa hadapan rakyat.

“Kita tak boleh cakap soal hidup ke mati ke pada masa hadapan, esok kalau mati apa pula nasib anak dan isteri. Jadi, jangan pentingkan diri sendiri.

“Pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kerajaan benarkan keluar Akaun 1, tetapi bagi golongan sasar, tepat sebab bukannya orang keluarkan sesuka hati,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button