Nasional

Belanjawan 2021: Defisit fiskal tidak boleh dielak

KRISIS pandemik Koronavirus (Covid-19) yang menberi impak ekonomi berskala besar menyebabkan keperluan penangguhan usaha untuk mengurangkan defisit fiskal dalam Belanjawan 2021.

Usaha mesti ditumpukan kepada bantuan kepada rakyat dan perubatan serta memulihkan semula sektor-sektor ekonomi terjejas.

Selain isi rumah, pelbagai sektor industri memerlukan bantuan terus daripada kerajaan dan ia perlu dilaksana bagi memastikan kitaran ekonomi dapat bergerak.

Oleh demikian, usaha untuk mengurangkan defisit fiskal dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November nanti perlu ditangguhkan dahulu.

“Saya lihat kerajaan akan lebih bertoleransi dalam Belanjawan ini.

“Jenis toleransi itu adalah, pertama kerajaan tidak perlu memikirkan sangat tentang defisit fiskal. Berbanding sebelum ini, kerajaan sentiasa menekankan kepentingan untuk menurunkan defisit.

“Namun kali ini, rata-rata mengatakan kerajaan boleh tangguhkan usaha untuk mengurangkan defisit yang penting jangan mengurangkan perbelanjaan mana-mana sektor.

“Kerana semua boleh dikatakan terjejas akibat pandemik dan juga ekonomi.

“Sebab itu saya menjangkakan defisit fiskal untuk Belanjawan ini akan melebihi empat peratus, tetapi tidak ada masalah masih ada ruang untuk menurunkannya pada tahun-tahun akan datang.

“Sudah dijangkakan beberapa sektor memerlukan tambahan bajet seperti kita lihat bahawa sektor kesihatan terutamanya yang memerlukan peruntukan tambahan.

“Banyak sektor yang memerlukan bantuan secara langsung untuk pulih sepenuhnya seperti pelancongan. Sektor memang langsung tidak dapat beroperasi dan pulih sepenuhnya.”

Demikian ulasan diberikan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau menjangkakan demikian terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 yang dilihat unik dan memerlukan toleransi semua pihak.

Sejuta orang akan menganggur hujung tahun ini

Ia termasuklah persediaan kerajaan bagi membantu rakyat dalam menghadapi kadar pengangguran yang dijangka meningkat menjelang hujung tahun ini.

“Menteri Sumber Manusia pun menjangkakan menjelang akhir tahun ini, satu juta orang akan menanggur.

“Jadi, inisiatif untuk kadar pengangguran itu mesti ada dalam Belanjawan 2021 yang juga memastikan satu bentuk bantuan kepada peniaga tidak gulung tikar,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan dalam Dewan Rakyat Jumaat ini, beliau turut menjangkakan beberapa inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini akan diteruskan.

Bantuan, insentif sebelum ini diteruskan

Termasuklah kemudahan seperti moratorium dan juga Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Jadi, mungkin bantuan untuk isi rumah dikekalkan, moratorium untuk mereka yang betul-betul terkesan, saya harap benda ini memang benar-benar ada.

“Kita tidak menafikan pembangunan ini penting untuk meningkatkan lagi ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman turut menjangkakan tiada projek mega atau pembangunan berskala besar akan dilaksanakan bermula tahun hadapan.

Kecuali, projek-projek yang sedang berjalan kerana akan menyebabkan peningkatan kos sekiranya kerajaan memutuskan untuk tangguh.

Tangguhkan projek mega yang kurang impak secara langsung kepada rakyat

“Yang penting, projek mega yang sedia ada itu memang kena diteruskan, kalau diberhentikan ia akan memberi impak lebih besar seperti bayar hutang dan sebagainya.

“Kalau ada mana-mana projek mega yang ingin dilaksanakan selepas bajet dibentang, kepentingannya kepada rakyat mestilah betul-betul jelas.

“Kita tidak mahu projek-projek ini diteruskan semata-mata untuk menunjukkan pencapaian dan tidak memberi kesan langsung.

“Seperti projek pembangunan di Kampung Bharu, Kuala Lumpur itu patutlah sebab boleh menaik taraf kehidupan orang Melayu di bandar.

PROJEK Quranic Village di Purtrajaya.

“Tetapi, kalau macam Quranic Village itu patut ditangguhkan dahulu sebab tak nampak impak secara langsung kepada ekonomi dan rakyat sekarang.

“Pembangunan projek-projek mega sepatutnya memberi impak kepada ekonomi seperti membuka peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Impaknya mesti serta merta, bukan hanya sekadar satu showcase seperti ketamadunan dan sebagainya,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button