Bekas ratu cantik Romania dipecat kerana terlalu cantik
TAK semua wanita cantik bernasib baik dan dapat apa yang mereka inginkan. Inilah yang berlaku terhadap bekas ratu cantik Romania, Claudia Nicoleta Ardelean, yang dikatakan dipecat kerana ‘terlalu cantik’.
Kisah bekas ratu cantik tersebut telah mencuri tumpuan dunia apabila portal berita Romania memberitahu bahawa Claudia Ardelean , 27, tiba-tiba diarahkan berundur daripada jawatan Ahli Lembaga (tidak berbayar) di Pneumophthisiology Clinical Hospital di Cluj.
Pada 8 Februari lalu, Ardelean telah memuat naik gambarnya di media sosial sebagai kenangan atas kejayaannya mendapat jawatan tersebut.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh Parti Liberal Nasional Cluj!” tulis Ardelean.
Namun, hantaran tersebut telah dipadam selepas mendapat pelbagai reaksi negatif dan ada pihak yang mendakwa Ardelean mendapat jawatan tersebut kerana kecantikannya.
Tidak lama kemudian, ahli Lembaga Pengarah Majlis Bandar Cluj mengarahkan Ardelean meletakkan jawatan serta merta.
Terkejut dengan keputusan tersebut, Ardelean memberitahu pihak media bahawa dia sangat kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan kerana dia mempunyai kelayakan untuk jawatan tersebut.
Menurut Ardelean, dia memiliki dwi-ijazah dalam jurusan Undang-undang dan Etika Eropah , pernah bekerja sebagai peguam dan dia seorang usahawan yang memiliki hostess agency serta syarikat pengurusan acara sendiri.
“Sayang sekali di Romania, sikap prejudis masih lagi berleluasa dan kecantikan tidak sepatutnya menjadi penghalang kerjaya profesional seseorang,” katanya
Presiden Majlis Cluj telah tampil memberi kenyataan bahawa beliau tidak selesa memecat Ardelean kerana Ardelean mempunyai kelayakan namun keputusan tersebut harus diambil untuk mengelak sebarang kecurigaan terhadap pelantikan tersebut- SM