Jenayah

Bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan P.Pinang direman empat hari

SEORANG bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang direman empat hari untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.

FMT melaporkan, peguam RSN Rayer yang mewakili lelaki itu berkata, SPRM memohon perintah reman tujuh hari.

RSN Rayer

 

Katanya, selepas mendengar hujah pihak pembelaan, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Nur Fadrina Zulkhairi membenarkan reman empat hari.

“Saya tidak dapat beritahu anda apa-apa lagi. Ia adalah siasatan SPRM berdasarkan satu laporan yang dibuat kepada mereka baru-baru ini,” kata Rayer ketika ditemui wartawan di Lokap Berpusat Bayan Baru.

 

 

GAMBAR FREE MALAYSIA TODAY

Di luar lokap, penyokong memegang kain rentang meminta lelaki terbabit dibebaskan.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berjanji kerajaannya akan bekerjasama dengan SPRM untuk menyoal siasat exconya.

Katanya, SPRM sudah menghantar surat ke pejabatnya dan beliau difahamkan exco daripada pentadbiran terdahulu juga akan dipanggil.

Chow Kon Yeow

“Saya diberitahu perintah reman sudah diperolehi untuk membantu siasatan. Kami tidak tahu siasatan itu berkaitan apa, tetapi kami percaya ia berkaitan projek terowong dasar laut.

“Kami sudah menerima surat SPRM untuk menemu ramah beberapa exco negeri dan kami akan beri kerjasama sepenuhnya.

“Walaupun sebelum ini ada siasatan dan ia sudah berakhir, kami serahkan kepada SPRM untuk melakukan tugasnya,” katanya.

Kon Yeow kemudian menunjukkan surat SPRM bertarikh April tahun lalu kepada wartawan yang membersihkan nama pihak terbabit dalam projek terowong dasar laut itu daripada sebarang salah laku.

Terdahulu, media melaporkan bekas pegawai berusia 50-an itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah petang semalam.

Pegawai SPRM kemudian menyerbu rumahnya.

Sebelum itu, SPRM menyerbu 3 syarikat dan sumber memberitahu FMT, serbuan itu susulan satu siasatan rasuah yang disambung semula ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang selepas penyiasat menemui “petunjuk baru”.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button