Nasional

Bekas orang kuat Najib bakal ganti tempat Maszlee?

DR MASZLEE Malik bukan seorang yang terburuk namun beliau menjadi mangsa kerana tempatnya itu mahu diisi oleh orang lain.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan simpati kepada bekas Menteri Pendidikan itu kerana menjadi mangsa keadaan.

Kata Annuar orang yang akan menggantikan Maszlee itu terkenal dengan mementingkan diri sendiri dan orang kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kesian Maszlee. Dia jadi mangsa walaupun dia bukanlah yang terburuk. Tetapi, tempatnya hendak diisi atau diambil untuk seseorang yang diketahui kroni orang yang paling berpengaruh dalam kerajaan PH.

“Orang ini terkenal dengan ‘playsafe’ dan pentingkan dirinya dulu dalam politik. Dialah orang kuat Datuk Seri Najib (Tun Razak) dahulu,” katanya dalam hantaran di Twitternya hari ini.

Semalam Dr Maszlee mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa hari ini.

Dalam pengumumannya itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memberinya peluang menerajui kementerian tersebut.

Beliau berjanji akan meneruskan khidmat kepada negara atas pelbagai kapasiti lain termasuk melalui PPBM.

Maszlee dalam sidang akhbar ketika mengumumkan peletakan jawatan itu berkata, beliau berbuat demikian kerana dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan.

Katanya, ini terutama yang melibatkan isu jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

Walau bagaimanapun, beliau percaya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga Kementerian Pendidikan. -SM

 

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button