Nasional

Bekas koperal gembira dapat bantuan RM17,000 untuk pendawaian elektrik dan tandas baharu

SEORANG pesara tentera terharu selepas terpilih menerima bantuan berjumlah RM17,000 bagi membuat sistem pendawaian elektrik dan tandas baharu di rumahnya di Kampung Baru Pasak di sini.

Abdul Manap Abdul Rahim, 69, yang juga bekas koperal berkata, kediaman dihuni bersama isteri dan tiga anaknya itu sudah usang namun beliau tidak mampu untuk membaik pulihnya kerana masalah kewangan dihadapi.

“Sejak tinggal di sini pada 1998, sistem pendawaian elektrik di rumah ini tidak pernah ditukar hingga ia usang dan menyebabkan soket kuasa tidak boleh berfungsi selain aliran kadangkala lampu berkelip- kelip.

“Saya memang risau jika berlaku lintar pintas sebab itu setiap kali hujan lebat petir kami akan mematikan suis elektrik di rumah.

“Alhamdulillah dengan kerja pembaikan ini termasuk tandas baharu ia akan beri keselesaan kepada saya dan keluarga

“Lebih lebih lagi, saya pun kurang sihat kerana mengalami pelbagai jenis penyakit termasuk saraf pinggang dan tapak kaki,” katanya.

Abdul Manap ditemui selepas program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pertahanan (MINDEF) di kampung itu di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Ahmad Nazir Mohd Nasir.

Ahmad Nazir dua dari kanan, memberi taklimat Kampung Angkat MADANI kepada Isham, paling kanan

Abdul Manap adalah salah seorang dari lima penerima bantuan membaik pulih rumah berjumlah RM17,000 setiap seorang.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada dana berjumlah RM2.5 juta diperuntukan untuk pelaksanaan 10 projek menaik taraf infrastruktur di kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Isham berkata, projek itu melibatkan kerja naik taraf jalan, balai raya, pembinaan surau dan dua pusat komuniti, dan gelanggang serbaguna baharu yang bakal memberi manfaat kepada lebih 600 penduduk kampung.

“Semua projek yang sedang dilaksanakan itu dijangka siap pada bulan Oktober ini dan penduduk juga mahu membina rumah untuk tanaman cendawan berkelompok.

“Diharap apabila semua kemudahan ini siap kelak, ia bukan sahaja memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada penduduk, malah dapat menaik taraf sosio ekonomi mereka,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Baru Pasak, Mohd Ridzwan Midi berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan menerusi MINDEF kerana memilih kampung mereka.

Mohd Ridzwan

Katanya, sebelum ini penduduk kampung tidak mempunyai kemudahan dewan terbuka dan terpaksa menyewa dewan di luar untuk sebarang majlis.

“Surau pula semakin hari semakin bertambah jemaah kerana banyak rumah baru telah dibina di sini secara tidak langsung penduduk semakin ramai seterusnya dapat mengimarahkan surau yang ada apabila siap nanti.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MINDEF kerana memilih kampung ini sebagai Kampung Angkat MADANI semoga apa diberikan dapat memberikan manfaat yang baik kepada penduduk kampung,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button