Bekas Ketua Menteri Melaka ke-5 meninggal dunia
Dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim selepas solat Maghrib malam ini
Bekas Ketua Menteri Melaka ke-11, Tan Sri Mohd. Adib Mohd. Adam, 81, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor, pagi tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, bermula pukul 7.00 malam hari ini.
“Orang ramai yang mahu memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian di Makam Pahlawan dengan mematuhi etika yang ditetapkan.
“Kerajaan negeri merakamkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Allahyarham dilantik sebagai Ketua Menteri dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982 selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Panas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1978.
Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn telah melantik beliau menggantikan Datuk Abdul Ghani Ali sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982. Ketika dilantik beliau baru berumur 37 tahun dan telah menjadi ketua menteri selama empat tahun.
Allahyarham kemudiannya digantikan oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik pada 1982.
Mohd. Adib yang dilahirkan pada 12 Februari 1941 kemudiannya bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum ke-6 (PRU-6) dan menang.
Apabila Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 1981, Mohd. Adib dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baharu mengantikan Datuk Mohamed Rahmat dari 1982-1984.
Seterusnya beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan dari 17 Julai 1984 -11 Ogos 1986. – SM