SELEPAS beberapa bulan menanti, akhirnya, bekas anggota Senoi Praaq, Abri Bah Ali, menerima berita gembira apabila rumahnya kini telah pun siap.
Pembinaan rumah tersebut dilakukan menerusi Projek Jiwa Murni iaitu satu projek kemasyarakatan yang diusahakan oleh syarikat pembekalan tenaga boleh diperbaharui, Gading Kencana Sdn. Bhd.
Turut serta dalam pembinaan rumah tersebut ialah Batalion 3 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA).
Majlis penyerahan kunci rumah yang memiliki dua bilik tidur itu dilakukan dalam satu majlis khas yang diadakan kampung tesebut baru-baru ini.
Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Guntor Tobeng, kerja pembinaan rumah tersebut dilakukan di bawah projek Jiwa Murni.
“Di dalam projek ini, anggota-anggoa dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mempunyai kemahiran pertukangan telah membina rumah tersebut bermula 27 Januari lalu.
“Kos bahan mentah untuk pembinaan rumah tersebut yang berjumlah RM21,758.40 pula ditanggung sepenuhnya oleh Gading Kencana, syarikat korporat yang menjalankan perniagaan Solar Farm di Bidor.
“Kita berbesar hati dapat menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi bantuan membina sebuah rumah baru kepada pesara ini demi kehidupan selesa bersama anaknya,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan rumah tersebut ialah Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Komisioner Rosman Kasman yang sebelum ini menjawat jawatan Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara PGA.
Hadir sama ialah Ajutan Briged Utara PGA, Deputi Superintenden Yin Ngan Chew dan Pegawai Pemerintan Batalion 3 PGA, Superintenden Azhar Hashim.
Dalam pada itu, Guntor turut menawarkan pekerjaan kepada Abri supaya bekas anggota polis itu dapat menyara hidup bersama anaknya di rumah baharu tersebut.
Sebelum ini, Guntor memberitahu yang syarikatnya terpanggil untuk membantu Abri selepas mengetahui kehidupan daif yang ditempuhi wira negara itu ketika petugas Gading Kencana bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sahabat Jariah sedang melakukan kerja-kerja kemasyarakatan (CSR) di perkampungan Orang Asli baru-baru ini.
“Ketika itulah kami bertemu dengan Konstable Abri yang hanya berteduh di sebuah pondok usang bersama dengan anak lelaki yang berusia 13 tahun.
“Selepas diselidik mendapati beliau pernah berkhidmat dengan pasukan Komando Vat 69 dan pernah bertempur dengan komunis mempertahankan negara.
“Dengan niat untuk membantu bekas wira negara, pihak kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk membantu Konstable Abri,” jelasnya. -SM