Nasional

Bekas anggota 69 Komando terima rumah baharu, bakal dapat kerja

SELEPAS beberapa tahun tinggal dalam keadaan serba daif, seorang bekas anggota Unit 69 Komando akhirnya bakal beraya dengan rumah baharu tahun ini.

Bekas anggota tersebut, Abri Bah Ali, 60 tinggal di sebuah pondok di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta, Bidor, Perak.

Rumah tersebut kini sedang dibina oleh  anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Senoi Praq) dari Kem Bidor.

Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, pembinaan tersebut adalah hasil sumbangan daripada syarikat pembekalan tenaga, Gading Kencana.

“Kita berterima kasih dengan Gading Kencana kerana sudi menyediakan sumbangan untuk membantu bekas anggota kita yang memerlukan.

“Buat masa ini kita sedang menyiapkan rumah ini secepat mungkin supaya dapat didiami sebelum sambutan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di lokasi pembinaan rumah tersebut.

 

Turut hadir dalam majlis perasmian pembinaan rumah itu ialah Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff bersama Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana), Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Menurut Ghani lagi, buat masa ini Abri akan tinggal sementara di kediaman di dalam Kem Bidor yang lengkap dengan kelengkapan rumah.

Malah, kelengkapan rumah yang ada itu juga akan dibawa bersama pulang ke rumah baharunya nanti.

Sementara itu, Muhammad Guntor berkata, pihaknya telah memberi sumbangan berjumlah lebih RM23,000 untuk pembinaan rumah tersebut.

“Kita dapat tahu berkenaan situasi yang dihadapi oleh Abri secara kebetulan kerana kita ada projek hydro elektrik di kawasan sini.

“Ketika melakukan bancian penduduk itu yang kita bertemu dengannya dan merasakan yang bantuan perlu dihulurkan terhadap Abri.

“InsyaAllah selain bantuan rumah, kita juga akan cuba memberikan pekerjaan yang sesuai kepada Abri supaya dia dapat meneruskan kehidupannya selepas ini,” katanya.

Menurut Muhammad Guntor lagi, dia sendiri berasa puas dengan bantuan yang diberikan kerana ini adalah sumbangan yang diberikan kepada pejuang negara.

Jelas beliau, dia juga berharap supaya bantuan yang dihulurkan kali ini akan membuka ruang lebih banyak lagi syarikat besar untuk membantu terutamanya melibatkan pejuang negara yang memerlukan.

Dalam pada itu, Abri pula bersyukur dan tidak menyangka yang kehidupannya akan berubah sekelip mata.

“Saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa pun dan sebelum ini saya berusaha keras untuk hidup.

“Itu yang bila Gading Kencana dan PGA3 datang serta bantu saya, rasa terharu itu memang menggunung. Saya berterima kasih banyak-banyak,” katanya terharu. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button