Hiburan

Permata single terbaharu dari Ayu Damit, tonton 9 malam ini di Youtube

BERPIJAK di atas pentas program realiti televisyen tahun lepas dan muncul tempat ketiga dalam program pertandingan yang disertainya tahun lepas, Ayu Damit atau Norayu Damit, 32, tampil dengan single berjudul Permata.

Walaupun ada yang beranggapan Ayu tidak konsisten dalam bidang seni suara, biarpun pernah dinobatkan sebagai juara untuk program realiti On In A Million (OIAM) musim kedua, pada 2007 sebenarnya isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata ini tidak pernah berhenti menyanyi.

Dalam kalangan peminat setia Ayu Damit, mereka tahu wanita ini menerima banyak undangan menyanyi di hotel-hotel dalam negara dan menjayakan majlis-majlis tertutup.

Cuma dari segi penampilan beliau menerusi single atau album, Ayu Damit tidak kelihatan dan itu perkara biasa, sama seperti yang dialami oleh barisan penyanyi tanah air yang lain.

Menyimpan azam dan iltimzam untuk tidak ketinggalan dalam barisan penyanyi aktif, peluang dan ruang itu bukan terletak dalam tangan Ayu sebaliknya orang dari dalam industri sendiri yang harus membuka peluang dan memberi ruang kepada penyanyi sehebat Ayu Damit.

Single berjudul Permata ini ciptaan Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr dan bergenrekan balada dan proses rakamannya dilakukan di Pro Studio, Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Ayu berkata, lagu yang diterbitkan oleh syarikat Saudagar Seni itu dirakam sewaktu beliau masih lagi menyertai program pertandingan realiti televisyen berkenaan.

“Rakaman dibuat sebelum program itu berakhir pada 13 Disember untuk final. Masa Ayu sibuk dengan program pertandingan itu, Datuk Gulzar (Mohd Atlas) telah ajak Ayu untuk jumpa sebab sebelum ini Ayu pernah bekerjasama dengan beliau.

“Apabila bersua empat mata, Datuk menghasilkan melodi dan lirik dalam tempoh satu malam dengan Zimi. Pada malam itu juga kami terus menyesuaikan mana yang patut terhadap melodi dan lirik sehingga ke pagi,” katanya.

Kata Ayu lagi, beliau tertarik dengan lirik Permata yang mempunyai banyak maksud tersirat.

“Lagu ini khas untuk pasangan suami isteri. Kalau untuk Ayu, suami (Syed Fauzi Syed Baharuddin) yang jadi tulang belakang kepada perjuangan seni. Dalam lirik lagu itu, setiap bait ada maksudnya,” kata Ayu yang tidak mengambil masa yang panjang ketika sesi rakaman iaitu dari pukul 5 petang sehingga 8 malam saja.

Populariti Ayu Damit bertahan menerusi lagu Hanya Di Mercu (2008) dan kali terakhir tampil dengan single pada 2016, Dari Hati, beliau mengakui merasa agak bimbang sewaktu berada dalam studio rakaman.

“Tak kekok sangat, cuma Ayu bimbang tentang pengawalan suara dekat mikrofon, itu saja. Yang lain alhamdulillah, Ayu dapat buat.

“Sebenarnya untung juga, rakaman dibuat sewaktu Ayu masih menyertai program pertandingan realiti televisyen itu kerana ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk nada tinggi atau rendah.

“Kalau diikutkan, lepas rakaman lagu dalam studio nak buat video muzik, dah siap rancang semua tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tak boleh nak shoot. Jadi akan keluar video lirik dulu,” katanya.

Tambah Ayu lagi dalam kenyataan yang sama, walaupun tidak berpeluang menjalani penggambaran video muzik lagu Permata namun video lirik tetap akan dikeluarkan dulu sebelum menunggu waktu yang sesuai untuk penggambaran.

Story board atau jalan cerita muzik video Permata, kata Ayu lagi, beliau sudah merancang  di mana dua orang model akan ditampilkan untuk berlakon sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau Ayu sendiri yang berlakon dalam muzik video itu, nanti kaku jadinya. Biarlah Ayu nyanyi sahaja dan bagi orang lain yang berlakon. Kita sudah rancang jalan cerita tapi buat masa sekarang tak boleh buat penggambaran.

“Itu yang kena keluarkan video lirik dulu. Hari ini, 29 Januari pukul 9 malam, video lirik Permata dapat ditonton di YouTube Saudagar Seni Media,” ujar beliau.

Menerusi single terbaharu Permata itu, Ayu berharap, single ini dapat mengingatkan orang ramai tentang kehadirannya dalam bidang seni suara. – SM

(Visited 588 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button