Bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, 70, meninggal dunia di Hospital Melaka akibat beberapa komplikasi penyakit malam tadi.
Anak kedua Allahyarham, Nor Adawiyah Mohd Said, 40, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.10 malam.
Menurutnya, arwah bapa terlantar sakit dan sering keluar masuk hospital sejak Disember tahun lalu.
“Keadaan kesihatannya semakin merosot akibat beberapa penyakit kronik termasuk jantung dan kencing manis sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Melaka.
“Keadaannya semakin lemah sehingga tengah hari semalam, sebelum doktor pakar mengesahkan ayah sudah meninggal dunia,” ujarnya di sini hari ini.
Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin meninggalkan seorang balu, Datin Rozana Shamsudin, tiga anak dan enam cucu.
Arwah menjadi Ahli Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti 21,334 undi dan menjadi wakil rakyat selama sepenggal sehingga 2008.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu pada jam 11 pagi ini. – SM