Bayi masih bertali pusat ditemukan dalam keadaan dihurung semut
SEORANG bayi lelaki yang masih hidup dan masih mempunyai tali pusat ditemukan dalam keadaan dihurung semut di belakang rumah warga asing di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan bayi tersebut kira-kira pukul 5.10 pagi.
“Orang ramai pada mulanya mendengar tangisan kira-kira pukul 4.50 pagi sebelum menemukan bayi tersebut di dalam plastik hitam yang diletakkan di atas meja di bahagian belakang rumah seorang warga asing.
“Keadaan bayi itu ketika ditemukan berada dalam keadaan dihurung semut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, siasatan awal mendapati bayi tersebut bukan berada dari kawasan tersebut kerana tiada penduduk yang sedang mengandung sebelum itu.
Ujarnya, tempoh masa berapa lama bayi tersebut ditinggalkan juga tidak diketahui.
“Walaubagaimanapun bayi itu telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Adam Firdauz Ahmad (012-7565464) atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya (03-79662176). -SM