Nasional

Peguam Najib beri 24 jam pulangkan wang UMNO RM114 juta

Peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan tempoh 24 jam kepada Pendakwa Raya supaya wang RM114 juta dilepaskan kepada Najib dan UMNO.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, berkata duit berkenaan perlu diserahkan kepada anak guamnya berikutan mahkamah menolak permohonan untuk melucut hak wang tunai yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.

“Apabila wang diserahkan, terpulang pada Najib dan UMNO untuk mengambil bahagian masing-masing seperti yang dirampas di Pavilion Residence,” kata dalam sidang akhbar hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

Muhammad Shafie yang ditanya mengenai tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah berhubung pemulangan wang itu menjawab, “Pendakwaan perlu menyerahkan wang itu”.

Wang tunai berjumlah RM114 juta dan sejumlah barangan dirampas dari Pavilion Residence sebaik sahaja Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang sekaligus menyaksikan kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

UMNO dan Najib adalah pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.-SM

(Visited 653 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button