Nasional

Bayi kritikal dihempap pokok rhu di Pantai Puteri

Kegembiraan satu keluarga berkelah di Pantai Puteri berakhir dengan tragedi apabila seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala ibunya cedera selepas dihempap sebatang pokok rhu dalam kejadian berlaku pukul 6.30 petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, berdasarkan maklumat awal ketika kejadian bayi itu sedang didukung ibunya manakala suami serta anaknya yang lain sedang mandi di pantai berkenaan.

Menurutnya, secara tiba-tiba sebatang pokok rhu tumbang serta dahan telah menimpa kedua-dua beranak tersebut hingga mereka tersembam ke dalam pasir pantai.

“Orang ramai yang ketika itu berada di kawasan berhampiran bekejar ke tempat kejadian membantu kedua-dua beranak mengalihkan dahan pokok menyelamatkan mangsa.

“Saya bersama calon Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong menghadiri satu program sebelum menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian itu dan kami terus berkejar ke tempat kejadian,” ujarnya di sini hari ini.

Tuminah berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapat rawatan lanjut.

Sehubungan itu katanya, kawasan di tempat kejadian tersebut ditutup buat sementara waktu bagi sebarang aktiviti perkelahan dan perkhemahan.

Selain itu katanya, beberapa kawasan telah dikenal pasti yang pokok rhu condong ke arah laut dan jalan raya juga terpaksa ditutup buat sementara waktu.

“Langkah ini diambil atas faktor keselamatan ekoran hujan yang kerap berlaku dan hakisan pantai menyebabkan banyak pokok terbabit semakin condong,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai masih boleh meneruskan aktiviti perkelahan dan perkhemahan di pantai berkenaan melainkan kawasan yang telah diletak pita tape Amaran Awas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button