Bayi 6 bulan lemas dalam selimut di rumah pengasuh
IBU-bapa mana yang tidak sedih apabila cahaya mata yang sekian lama menanti ditemukan anak lelaki yang berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, Melaka pada Isnin.
Menurut laporan Berita Harian, pengasuh wanita berusia 27 tahun itu hanya menyedari kejadian sekitar jam 11:30 pagi, apabila dia menemui bayi yang dikenali sebagai Harraz Noah Nazrul Nizam, 6 bulan, dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi wajahnya.
Setelah menerima panggilan daripada pengasuh, ibu mangsa, Ainol Izzah Raslan, segera menghubungi ibu (nenek mangsa) untuk memaklumkan insiden tersebut. Wanita itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
“Ibu saya yang lebih dekat dengan rumah pengasuh tiba beberapa minit kemudian dan mendapati bibir Harraz sudah berwarna biru. Pengasuh memberitahu bahawa muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk menguruskan perkara lain di rumah,” ujar Ainol Izzah.
Bayi tersebut yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri segera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, bapa mangsa, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, reda dengan pemergian anak tunggalnya dan tidak menyalahkan pengasuh. Beliau berkata pengasuh tersebut telah menjaga anaknya dengan baik selama empat bulan.
“Saya mengenali pengasuh itu melalui media sosial dan dia sendiri mengakui memiliki pengalaman menjaga bayi sebelum ini. Namun, ternyata Allah lebih menyayangi anak saya,” katanya.
Jenazah Harraz Noah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau pada Selasa.