Nasionalpilihan

Bayaran gaji penjawat awam akan diawalkan

PENJAWAT Awam Persekutuan akan menerima bayaran gaji selewat-lewatnya pada 14 April ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran yang diawalkan tiga hari berbanding 17 April seperti dijadualkan, turut membabitkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700.

“Saya terima banyak permohonan, 17 (April) ke atas itu terlalu suntuk untuk membuat persiapan Hari Raya. Jadi kita awalkan, selewatnya 14 April kita selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya, petang semalam.

Anwar juga berkata bayaran pencen untuk pesara turut diawalkan pada tarikh yang sama.

Katanya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri akan memanfaatkan hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turun padang melihat proses penunaian STR Fasa 2 di BSN Cawangan Meru Raya.

Beliau turut menyampaikan STR secara tunai kepada beberapa penerima.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button