Nasional

Batal banyak projek rakyat punca Pakatan Harapan tumbang – Najib

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya salah satu sebab tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru berusia 22 bulan Februari lalu kerana mereka sewenang-wenang membatalkan banyak projek yang bermanfaat untuk rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Kata beliau, sikap terlalu menyalahkan BN dan pembohongan berterusan kepada rakyat telah memerangkap pemimpin-pemimpin mereka.

“Contohnya, MRT 3 (Laluan 3 Aliran Transit Massa), kalau kita menang hari itu (PRU-14), kita akan bagi kontrak MRT 3 yang memakan masa barangkali empat tahun siap. Kalau tempoh dua tahun ini (sejak Mei 2018), sudah 50 peratus siap dengan setiap stesen besar ada ruang niaga…50 peratus untuk bumiputera dan 5 peratus lagi untuk bukan bumiputera.

“High Speed Rail (HSR) (dari Kuala Lumpur ke Singapura yang dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM100 bilion dari segi KDNK tidak terlaksana), ECRL 80 peratus siap, pegawai kerajaan tak dapat kenaikan gaji khas setahun yang maknanya sampai dia pencen dapat lagi… tolak rezeki, projek perumahan rakyat (PPR), UTC tambahan…semuanya tidak ada…semua jadi berkecai belaka.

“Itu buat saya sedih, kalah (PRU-14) satu bab tapi visi kita untuk jadikan Malaysia world class…first grade nations tak kesampaian, itu saya rasa terkedu.

“Begitu juga kebajikan rakyat… macam BR1M, bantuan untuk pekebun kecil, pesawah padi, nelayan, ini semua orang memerlukan bantuan. Apa guna ada kerajaan kalau kita fikir tak rakyat… saya tak suruh rakyat ikat perut.

“Rasional mereka batal projek? Tak ada rasional, cuma hati busuk sebab nak menyalahkan saya dan kerajaan BN terdahulu…yang akhirnya rakyat kemudian baru sedar ini semua untuk kebaikan rakyat,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA di Langgak Duta semalam.

Pada 1 April 2018, sebulan sebelum PRU-14 pada 8 Mei, Najib mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai tahun berkenaan.

Pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Ia bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.

Kerajaan ketika itu turut bersetuju memberikan kenaikan satu peratus kadar pencen secara ‘one-off’ bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini kepada pesara.

Bagaimanapun selepas kerajaan PH menang, pimpinannya membatalkan kenaikan satu gaji tahunan tersebut atas alasan kekurangan pendapatan kerajaan walaupun rekod menunjukkan hasil kerajaan Persekutuan dicatatkan meningkat sebanyak 6.4 peratus.

Bahkan penjawat awam turut dilabel semasa era PH sebagai ‘biawak hidup’ dan ‘beban mati’ kerana didakwa terlalu ramai hingga kerajaan `22 bulan’ dikatakan terpaksa menanggung kos perbelanjaan emolumen dan bayaran pencen yang tinggi.

Dalam pada itu, projek MRT3 ditangguhkan oleh PH atas alasan untuk mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

MRT 3 yang menelan kos RM45 bilion dirancang membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer dan ia adalah aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button