Basmi Kemiskinan Melalui Model EL
Oleh Dr. Asri Salleh
Memang ramai individu kaya dan berkemampuan yang selama ini membantu sekian ramai orang susah dan miskin dengan menyalurkan bantuan makanan dan tunai dalam skala yang besar secara berterusan. Namun, atas beberapa sebab, ramai yang cenderung menyembunyikannya.
Dalam beberapa kes, inisiatif murni individu ini hanya diketahui setelah mereka meninggal dunia. Namun, berikutan capaian internet dan pengunaan media sosial yang lebih meluas, kini umum dapat melihat dengan lebih terbuka dan jelas usaha terpuji sebegini. Ebit Liew ialah salah seorang individu tersebut.
Berbanding kaedah konvensional yang bersifat one-off atau bermusim dan fokus kepada satu spektrum agama, bangsa dan objektif terpilih, Ebit Lew tampil dengan satu model pembasmian kemiskinan hibrid yang boleh dikenali sebagai Model Ebit Liew (MEL).
Model ini bebas semua ciri konvensional. Melalui model ini, sama ada atas inisiatif sendiri atau melalui bantuan pihak ketiga, Ebit Liew menyediakan individu atau keluarga miskin dengan rumah yang lengkap kemudahan dan peralatan asas, pakaian, makanan dan bantuan tunai dalam masa pantas (selalunya dalam masa satu atau dua hari).
Ciri terpenting model ini ialah betul, bersasar, rentas kaum dan agama, pantas, efektif dan berjangka panjang. Antara lain, tema “sepanjang hayat” dan “sehari” adalah batu asas yang membezakan MEL dengan kaedah lain.
Mengadaptasi MEL
Negara ini memiliki begitu ramai jutawan dan individu berkemampuan. Lihat sahaja kepada senarai 20 jutawan Malaysia. Tiada keraguan semua penama ini boleh dan telah membelanjakan sekian jutaan ringgit membantu mereka yang miskin dalam kuantiti dan kualiti yang besar untuk bertahun-tahun lamanya. Ia paling mudah dilihat melalui peluang pekerjaan yang mereka sediakan melalui perniagaan dan industri masing-masing.
Malahan, mungkin mereka sebenarnya telah melakukan sesuatu yang jauh lebih baik daripada MEL. Cuma rakyat Malaysia ingin melihat mereka melakukannya secara terbuka di media sosial seperti Ebit Liew. Di samping itu, kita sebenarnya sedang bercakap tentang usaha dan daya untuk menginspirasi segenap lapisan masyarakat, bukan akaun untung rugi perbelanjaan atau pulangan pelaburan semata-mata.
Faktor Gandaan Ekonomi, Sosial Dan Politik
Jika setiap daripada 20 jutawan ini membantu 20 keluarga yang memiliki lima ahli, maka kita akan melihat 2,000 individu bebas daripada kemiskinan. Bayangkan jika MEL ini diadaptasi oleh 100 individu berkemampuan, diikuti 30 anggota Kabinet Kerajaan, 222 Ahli Parlimen dan 576 Ahli Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Kemudian, bayangkan pula jika setiap hari 10 orang rakyat Malaysia (di 13 negeri) mengikuti jejak langkah mereka ini.
Katakanlah, Perdana Menteri Malaysia turut mengadaptasi MEL. Pastinya segenap lapisan masyarakat, tua dan muda, lelaki dan wanita, kaya dan kurang berkemampuan, dekat atau jauh akan turut tersentuh dan bersemangat untuk mengikut jejak langkah beliau. Anggota Kabinet Kerajaan yang lain juga akan menyusul.
Impak ekonomi MEL ini pasti akan melimpah masuk ke dalam aspek sosial, agama dan politik. Ia akan menjadi fenomena yang memanfaatkan semua orang, malah haiwan dan alam sekitar. Kesan gandaan ekonomi dan sosial MEL akan menjadi begitu unik dan signikan.
Hakikatnya MEL ialah satu usaha kombo membasmi kemiskinan. Antara lain, MEL boleh meningkatkan kadar pekerjaan (mengurang masalah pengangguran), membanteras jenayah dan mengurang masalah dan gejala sosial. Taraf hidup, kualiti makanan dan pendidikan ibu-bapa dan anak-anak penerima MEL juga akan menjadi lebih tinggi.
Paling tidak pun MEL boleh membantu meningkatkan kitaran wang dalam ekonomi domestik di samping membantu melegakan sedikit isu bekalan hartanah yang berlebihan (property overhang) di sesebuah lokaliti.
Jika MEL digunapakai oleh semua pemegang taruh lain, tidak mustahil kemiskinan di Malaysia akan berkurang begitu drastik, jika tidak dapat dihapus sepenuhnya, dalam satu tempoh masa yang pendek kerana MEL berpotensi besar merangsang ekonomi negara melalui pencairan aset dan pengeluaran wang simpanan secara pukal.
Berkemungkinan juga kesan MEL ini akan lebih nampak dan cepat terasa dalam ekonomi pasca-Covid19.
Peranan Agensi Kerajaan Dan Badan Bukan Kerajaan
Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, Badan Bukan Kerajaan, Yayasan dan orang perseorangan (sekadar menyebut beberapa contoh) yang selama ini yang terbabit dalam usaha membanteras kemiskinan diseru meneruskan kaedah konvensional mereka.
Jika berkemampuan, mereka boleh mengadaptasi MEL. Kita tahu MEL bukan untuk semua orang. Ia juga mungkin tidak atau tidak mungkin akan sempurna. Sebab itu, usaha “tembus tampal” MEL ini, antaranya melalui penyediaan makanan, perubatan, sokongan moral dan tidur setiap hari kepada golongan yang memerlukan mesti diteruskan.
Dalam pada itu, Kerajaan juga boleh memperluas lagi peranan social enterprise di Malaysia yang menyedia peluang perkerjaan dan sumber pendapatan pendapatan kepada penduduk tempatan melalui perniagaan yang disulami dengan objektif membasmi kemiskinan.
Mungkin Kementerian Pendidikan dan Agensi Pendidikan Negeri boleh memasukkan usaha-usaha entiti dan MEL ini dalam silibus pendidikan masing-masing supaya asas MEL ini boleh disemai dikalangan kanak-kanak seawal usia lima tahun. Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar boleh mengadaptasi MEL ini dalam operasi Misi Pengaman Malaysia di negara seperti di Lubnan.
Jalan Kehadapan
Benar, mengadaptasi MEL bukan mudah. Pasti akan ada masalah dan halangan. Pasti ramai yang akan mengambil kesempatan, mengkritik dan mencari jalan untuk merencat dan menyalahguna MEL. Tetapi oleh kerana ini adalah sesuatu yang sudah dijangka, maka penyelesaiannya juga agak mudah.
Susah-susah sangat, MEL tidak perlu diterjemah ke dalam satu bentuk dasar atau akta. Lagipun MEL bermula sebagai inisiatif individu. Maka, masalah individu boleh diselesai juga secara individu. Usaha Ebit Liew selama ini pun ada saja yang menentang, dihina malah hingga tahap disabotaj.
Sehinggakan tempoh hari beliau berhenti sekejap. Tetapi MEL adalah untuk individu yang berjiwa besar dan penyayang tanpa sempadan ras atau agama. Ebit Liew ialah salah seorang daripada individu tersebut. Kita juga seharusnya menjadi salah seorang daripada individu tersebut.
PENULIS adalah Pensyarah Kanan, FSPPP UiTM Sabah, Kampus Kota Kinabalu