Rencah HidupSukan

Basikal lajak: Jangan kita pula yang terlajak-lajak

SAYA ialah pengayuh basikal agak tegar. Saya berkayuh basikal hampir setiap hari. Bergantung kepada mood sama ada saya berkayuh basikal jalan lebih sedap dipanggil road bike atau basikal gunung juga dikenali sebagai mountain bike.

Zaman kanak-kanak saya berkayuh ke sekolah menggunakan basikal ibu saya dan sesekali basikal bapa atau dikenali sebagai basikal tua. Dalam hati tuhan sahaja yang tahu betapa saya inginkan basikal lumba atau racing atau basikal BMX.

Pada sekitar tahun 80-an hanya anak dari keluarga kaya sahaja yang mampu memiliki basikal BMX dan basikal racing.

Jadi apakan daya dengan pendapatan tidak seberapa mengusahakan sawah padi dan menoreh getak sudah pasti bapa saya tidak mampu memenuhi hasrat hati saya untuk memiliki basikal racing atau basikal BMX.

Begitu juga hari ini bila saya berkayuh sering terjumpa kelompok anak-anak yang sedang melayan basikal lajak. Saya faham perasaan mereka yang sangat sukakan basikal. Sekurang-kurangnya mereka mampu memiliki basikal yang diingini cuma kaedah menunggang mereka agak merbahaya.

Bagaimanapun anak-anak muda dari golongan yang lebih berkemampuan saya lihat lebih memilih mountain bike atau road bike. Selain banyak acara yang boleh disertai, ia juga lebih teratur serta mempunyai kumpulan yang sangat berdisiplin dan mementingkan keselamatan ketika berkayuh. Dan hobi ini biasanya mendapat sokongan serta dorongan ibu bapa.

Hinggakan jika seseorang tidak memakai helmet sahaja tidak akan dibenarkan menyertai kayuhan.

Tetapi agak malang bagi anak-anak yang bermain basikal lajak. Mereka pastinya telah berhabis duit simpan untuk membeli basikal lajak dan tentunya tidak akan menghabiskan duit lagi untuk membeli helmet dan pelbagai lagi kelengkapan keselamatan diri.

Cuba kita periksa adakah acara yang dianjurkan oleh Kementeri Belia dan Sukan bagi membolehkan penggemar lajak ini menyertainya secara percuma. Pastinya mereka tidak akan menyertai jika dikenakan bayaran ratusan ringgit. Jadi apa salahnya jika kerajaan mengambil inisiatif menjadikan aktiviti sihat ini sebagai sebahagian program di seluruh negara.

Melalui ini juga mereka boleh dijinakkan supaya mematuhi undang-udang supaya basikal dipasang brek dan memakai pelindung keselamatan seperti topi atau helmet.

Jika setiap minggu ada program sedemikian sudah tentu tiada yang akan membuang masa untuk berkayuh di tengah-tengah jalan untuk mencari maut.

Janganlah kita terlampau ghairah dengan e-sport sahaja, tetapi terlupa golongan anak-anak yang gemar aktiviti lebih lasak dan mencabar.

Menteri sendiri seorang pengayuh basikal yang tegar pastinya beliau faham perasaan sebagai seorang pengayuh basikal.

Buatlah program sambil mendidik anak-anak ini, janganlah mereka dilayan seperti penjenayah pada usia yang muda, kelak jiwa mereka menjadi keras dan terus memberontak.

Oleh itu kita janganlah terlajak dalam menangani isu yang sebenarnya mempunyai kebaikan kerana dari sinilah kita mampu melahirkan penunggang basikal hebat yang mampu diketengah ke peringkat antarabangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button