Negeri

Bas coach kecil untuk kemudahan pejalan kaki Tambak Johor ulang-alik

PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd. Solihan Badri berkata,  Kerajaan negeri akan meminta Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan bas bagi memudahkan pejalan kaki pergi dan balik di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melalui Tambak Johor dalam masa terdekat.

Mohd. Solihan menjelaskan, usaha itu diharap dapat meringankan beban pejalan kaki yang harus merentasi Tambak Johor berikutan pengangkutan awam sama ada masuk atau keluar melalui tambak itu, masih tidak dibenarkan beroperasi setakat ini.

Katanya seperti laporan BERNAMA hari ini, satu perbincangan juga akan diadakan bagi memastikan perkhidmatan yang bakal disediakan itu tidak melanggar mana-mana peraturan.

“Kalau lihat di Tambak Johor hari ini, boleh nampak beberapa kumpulan yang berjalan kaki sambil mengusung beg.

“Kita simpati dan sebab itulah kita akan meminta PAJ menyediakan perkhidmatan bas dengan kebenaran pihak berkuasa sehingga ke sempadan Singapura,” katanya.

Pada masa sama juga, PAJ boleh mengambil orang ramai yang berjalan kaki memasuki Malaysia melalui Tambak Johor, katanya.

“Kita akan menggunakan bas coach kecil supaya mudah untuk buat pusingan-U di tambak,” katanya selepas meninjau rentas sempadan di bawah skim RGL dan PCA yang bermula hari ini.

Hadir sama, Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button