Baru Bian tak puas hati keadaan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo
SIBU, 15 Dis — Menteri Kerja Raya Baru Bian tidak berpuas hati dengan keadaan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo terutamanya pakej laluan dari Miri ke Sibu.
Selepas menguji sendiri laluan Miri ke Bintulu malam tadi dan laluan Bintulu ke Sibu pagi ini ekoran banyak aduan daripada penduduk, Baru berkata terdapat banyak jalan berlubang yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Saya ingin katakan yang saya tidak gembira. Ada banyak jalan berlubang dan ini membahayakan pengguna jalan raya, terutamanya di waktu malam apabila tahap penglihatan agak lemah,” katanya ketika menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan pengguna jalan raya.
Meskipun memahami cabaran yang dihadapi kontraktor, beliau berkata perlu ada piawaian yang mesti mereka patuhi.
“Kontraktor perlu lebih bertanggungjawab. Kementerian saya akan memantau semua kerja dengan rapi dan saya tidak akan berkompromi tentang perkara ini,” katanya semasa bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Penyambungan Gelegar Jambatan Batang Rajang di Durin hari ini.
Mengenai jambatan berkembar Batang Rajang sepanjang 1.2km bernilai RM120 juta, Baru berkata kemudahan itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada April tahun depan, dua bulan lebih awal daripada jadual.
“Para pengguna akan dapat menikmati rangkaian jalan raya yang lebih selesa dan efisien apabila siapnya projek ini,” katanya.
Jambatan itu, yang terpanjang antara 115 jambatan yang dibina di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo, adalah di bawah Pakej Kerja 07; dari persimpangan Bintangor dalam Bahagian Sarikei ke Jambatan Sungai Kua dalam daerah Selangau, dilaksanakan oleh Hock Seng Lee-Dhaya Maju Infrastructure Asia JV.
Setelah siap, projek berkenaan akan menjadi pemangkin kepada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan pembangunan kawasan berpotensi terutamanya pusat komersial serta perindustrian di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Sektor Dasar dan Pembangunan) Datuk Badrul Hisham Mohd.
— BERNAMA