Mahkamah

Bapa hempas anak perempuan 7 tahun ke lantai didakwa hari ini

SEORANG bapa berusia 37 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dengan cara mengangkat dan menghempas mangsa ke lantai rumah pada Ahad lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuan kandungnya yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah dekat Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas pada kira-kira pukul 8.20 malam.

Selasa lalu, pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, seorang lelaki ditahan kerana disyaki menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai rumah mereka, pada Ahad lalu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa mengalami luka kecil di dahi sebelah kiri dan bengkak di kepala selepas terkena bucu meja makan.

BACA >> https://suaramerdeka.com.my/ayah-hempas-anak-perempuan-7-tahun-ke-lantai/

Tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ketika melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa, tertuduh baharu dua minggu dibebaskan dari penjara dan tertuduh mem punya rekod jenayah  termasuk rekod dadah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Bagaimanapun tertuduh tidak boleh dikenakan jaminan selepas dia disabitkan kesalahan atas pertuduhan memasukkan dadah dalam badan.

Nurul Asyifa kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini serta dikenakan pengawasan selama dua tahun.

Kedua-dua pertuduhan dikendalikan pegawai pendakwa PDRM, Inspektor Noridah Dali manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd Yusof.
- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button