Nasional
BAP RM150: Hadiah Kerajaan Perpaduan untuk pelajar Tingkatan Enam
KERAJAAN Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus konsisten membantu meringankan beban rakyat dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan meliputi semua golongan tanpa mengira kaum.
Ini termasuk apabila kerajaan mengumumkan bantuan kepada lebih seratus ribu pelajar-pelajar Tingkatan Enam seluruh negara yang akan memulakan sesi persekolahan 2025/2026 pada Februari tahun depan.
Berita gembiranya adalah mereka bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 setiap seorang yang bakal diagihkan kepada para pelajar tersebut pada Febuari 2025.
Umpama mendapat hadiah daripada Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sudah pasti para pelajar terbabit merasa dihargai serta menceriakan lagi mereka yang bakal menyambung semula persekolahan di Tingkatan Enam tahun depan.
Buat pertama kalinya dalam sejarah, bantuan tersebut diberikan kepada para pelajar berkenaan agar mereka terus bersemangat untuk menyambung pelajaran selepas mengharungi pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan peluasan BAP ianya diharap dapat meringankan beban serta bermanfaat kepada para pelajar terbabit.
Katanya, bantuan tersebut melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta dan hal itu adalah cerminan keprihatinan Kerajaan Madani yang sentiasa berusaha meringankan beban kewangan ibu bapa serta penjaga dalam melakukan persediaan keperluan sebelum bermulanya sessi persekolahan.
“Inisiatif itu juga membuktikan komitmen berterusan KPM untuk terus memperkasakan pendidikan selain untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam selepas mereka menamatkan persekolahan di peringkat SPM.
“Kita mahu anak-anak tingkatan enam ini terus bersemangat menimba ilmu dan meneruskan persekolahan mereka.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam ini akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam sangat penting, ia adalah pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” ujar beliau lagi.
Jelas Fadhlina, inisiatif itu juga merupakan komitmen berterusan KPM untuk memperkasakan pendidikan selain menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan Enam selepas SPM. – SM