Bantuan Khas RM350: Mahasiswa sifatkan “bulan jatuh ke riba”
PENGUMUMAN Bantuan Khas RM350 pada Belanjawan 2023 Malaysia Madani disifatkan oleh golongan mahasiswa bagai “bulan jatuh ke riba”.
Rata-rata mahasiswa yang ditemui sangat menghargai pengumuman dibuat oleh Kerajaan Perpaduan yang sangat memahami situasi atau kekangan kewangan yang dihadapi.
Bantuan Khas RM350 ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.
Bantuan Khas ini bertujuan membantu meringankan beban golongan muda yang kini menghadapi situasi kos sara hidup dan kos pendidikan yang mencabar.
Ketika berada di Langkawi, Anwar turut mengumumkan tentang pengkreditan bayaran RM200 yang akan dilaksanakan pada Jun ini.
Manakala pengkreditan bayaran RM150 pula akan dikreditkan pada Julai depan berdasarkan kalendar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Ternyata dari tinjauan Suara Merdeka mendapati, mahasiswa sedar pemberian Bantuan Khas ini sebagai pembakar semangat untuk menjadi pelajar lebih cemerlang.
“Ini membuktikan Belanjawan 2023 Malaysia Madani mengambilkira dengan jelas keperluan kewangan mahasiswa sebagai golongan yang layak diberikan Bantuan Khas,” kata Norellyana Erzira Alias, 22, mahasiswa Tahun 2 Fakulti Elektronik Rekabentuk dan Rangkaian.
“Sebagai mahasiswa, saya bersyukur kerana Belanjawan 2023 Malaysia Madani menghargai kami sebagai mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan,” katanya.
Sehubungan itu Norellyana sangat menyambut baik Bantuan Khas ini yang katanya, akan digunakan bagi keperluan makanan dan juga pelajaran.
“Sekaligus dengan Bantuan Khas menjadikan saya lebih bekerja keras untuk menjadi pelajar yang berjaya supaya bantuan yang disalurkan kerajaan ini tidak sia-sia,” katanya.
Pendapat ini disokong rakannya Ang Sian Feng, 22, mahasiswa Tahun 2 Fakulti Kejuruteraan Komputer.
Pada hematnya, Bantuan Khas ini muncul tepat pada masanya kerana biasiswa yang diterimanya juga semakin susut kerana kini di penghujung semester.
“Kerajaan memahami masalah pelajar yang tiada sumber kewangan yang khusus kerana hanya berharapkan semata-mata kepada pinjaman atau biasiswa,” katanya.
Katanya lagi, pemberian Bantuan Khas RM350 adalah satu jumlah yang dianggap “sangat besar” bagi setiap mahasiswa.
“Yang jelas kerajaan sekarang prihatin dengan mahasiswa supaya tidak tersepit dalam masalah keewangan,” katanya.
Bagi M. Kathiravan, 23, mahasiswa Tahun 2, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer menyifatkan kerajaan sangat menjaga kebajikan mahasiswa.
“Sementelahan pula kerajaan memahami bahawa kebanyakan mahasiswa adalah dari golongan B40 yang perlu dibantu termasuk pemberian Bantuan Khas,” katanya.
Kata Kathiravan, Bantuan Khas ini juga sangat diperlukan oleh golongan mahasiswa kerana ia ‘datang’ di penghujung semester.
“Biasalah sekalipun secermat manapun menggunakan duit biasiswa ia tetap akan habis di mana ia pasti membebankan pelajar yang dalam masa sama harus tumpukan kepada peperiksaan akhir,” ujarnya. – SM
BACA Bajet 2023 sebahagian besar kekal, ditambah baik
BACA Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian