Politik

Ahli UMNO diingat jangan terkesan dengan ramalan-ramalan politik

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) merupakan medan bagi ahli dan kepimpinan parti UMNO untuk bermuhasabah, kembali menilai diri dan berbincang sesama mereka.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pada saat ini, warga UMNO yang tulen perlu mengutamakan agenda perpaduan dalaman parti dan membina semula pertubuhan keramat bangsa ini sebagai sebuah parti tonggak negara yang diyakini rakyat, khususnya umat Melayu Islam.

Menurutnya, warga parti seharusnya tidak cepat melatah apabila mendengar naratif nakal ramalan pihak-pihak tertentu yang mendakwa kononnya UMNO akan tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Adalah kurang bijak untuk bersikap terlalu mengambil peduli tentang persepsi luar terutama yang dilihat cuba mengganggu emosi para perwakilan,” katanya.

Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok bertegas, adalah lebih baik jika tumpuan diberi kepada pelbagai mesej yang disampaikan oleh kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden dan ’top five’ tentang hala tuju UMNO dan berbincang kaedah strategik untuk menjayakan matlamat parti.

“Agenda ini adalah lebih penting untuk diutamakan agar dapat disampaikan kepada rakan-rakan akar umbi kita sekali gus memberi keyakinan jitu dan semangat kepada mereka untuk meneruskan perjuangan UMNO,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Shaiful juga berkata, kesepakatan harus ditunjukkan dan warga parti seharusnya bekerja lebih kuat untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat, sekali gus membuktikan segala ramalan negatif nakal pihak-pihak tertentu itu terbukti tidak benar dan salah.

“Justeru saya menyeru agar semua pimpinan parti di pelbagai peringkat untuk bangkit menyemarakkan lagi perjuangan dan mempertahankan parti keramat bangsa ini. Pada hemat saya, inilah masa terbaik untuk kita membuktikan kesetiaan terhadap sebuah perjuangan” katanya. – SM

BACA Jadilah UMNO parti tanpa jiwa, tanpa semangat demokrasi

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button